Jadilah pemimpin yang bijak bila bercakap

Pembalakan haram di hutan-hutan memberi tekanan kepada keseimbangan ekosistem hutan yang menjadi santuari hidupan liar. Foto hiasan
Pembalakan haram di hutan-hutan memberi tekanan kepada keseimbangan ekosistem hutan yang menjadi santuari hidupan liar. Foto hiasan
A
A
A

PEMBALAKAN haram yang berlaku sejak sekian lama bukan sahaja menzalimi manusia, malah kesan buruknya turut menjejaskan hidupan lain dalam ekosistem hutan.

Baru-baru ini kenyataan daripada Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan (JPNK), Abdul Khalim Abu Samah mendapat kecaman dan menimbulkan kemarahan masyarakat.

Beliau mendakwa, aktiviti pembalakan di Kelantan tidak menjejaskan populasi harimau.

Jelas beliau lagi, proses itu sebaliknya baik untuk pertambahan populasi haiwan itu berpandukan kepada kajian yang dibuat seorang pakar dari Sarawak.

Abdul Khalim turut mendedahkan bahawa aktiviti pembalakan dikenal pasti bagus untuk populasi dan habitat harimau kerana menyebabkan tumbuhan baharu tumbuh, sekali gus menggalakkan kehadiran spesies haiwan yang menjadi makanan pak belang.

Kenyataan beliau itu ternyata telah menimbulkan kemarahan dan mengundang kritikan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama netizen di media sosial yang mempertikaikan fakta dibentangkan.

Ia juga dianggap sebagai lawak bertaraf ‘world’ oleh masyarakat, yang rata-ratanya berang dengan isu pembalakan yang semakin membarah di Malaysia.

Malah, netizen juga menganggap Abdul Khalim sebagai kurang bijak mengeluarkan kenyataan kerana beliau ialah Pengarah JPNK.

Artikel Berkaitan:

Masyarakat menyuarakan pendapat masing-masing di sosial media dan tidak kurang pelbagai pihak menyuarakan pandangan serta pendapat berhubung isu tersebut.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil menegaskan, Abdul Khalim perlu berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan atau berisiko menjadi bahan ketawa.

Beliau menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak segera membuat pembetulan dan memberi amaran kepada Pengarah Perhutanan Kelantan agar berhenti mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Hanya Perhilitan yang seharusnya mengeluarkan kenyataan mengenai perkara berkaitan dengan habitat harimau dan pembalakan yang bukan sahaja menjejaskan harimau tetapi hidupan liar lain dan masyarakat orang asli.

“Tiada data jelas tersedia mengenai jumlah hutan yang telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi tujuan pembalakan dan sebenarnya catuan penebangan (CTT) di Kelantan amat diragui dan tidak boleh dipercayai,” kata Shariffa Sabrina.

Sejujurnya bagi penulis, sebagai Pengarah Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim perlu berhati-hati dan bijak dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan.

Beliau harus lebih peka dan menjaga sensitiviti masyarakat, apatah lagi aktiviti pembalakan sememangnya telah merosakkan ekosistem, malah turut memusnahkan habitat hidupan liar di kawasan terbabit.

Disebabkan aktiviti sedemikianlah, ada saja kelibat binatang buas menghampiri kediaman penduduk termasuk memusnahkan tanaman dan ladang penduduk kampung.

Pembalakan haram di hutan-hutan memberi tekanan kepada keseimbangan ekosistem hutan yang menjadi santuari hidupan liar.

Malah, kegiatan itu turut menyebabkan haiwan kehilangan habitat, manakala spesies flora dan fauna mengalami kepupusan.

Musibah banjir lumpur yang melanda sekitar Bentong, Pahang pada Disember lalu yang mengakibatkan kebanyakan rumah musnah turut mengheret timbunan balak dari hutan berhampiran. Banyak gambar rumah yang ranap dan musnah disebabkan kayu balak yang dibawa arus.

Ingatlah, alam telah memberi amaran kepada kita semua untuk menjaga ekosistem sebaik mungkin dan menyelamatkan hutan-hutan daripada terus digondol untuk kepentingan manusia tidak bertanggungjawab.

Ekosistem akan terjejas oleh aktiviti-aktiviti manusia sekiranya tidak dikawal dan tiada pemantauan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Bagi aktiviti pembalakan, ia menyebabkan banyak tumbuh-tumbuhan dan pokok dimusnahkan yang memberi kesan kepada berkurangnya oksigen, manakala karbon dioksida meningkat. Oksigen terhasil daripada proses yang dilakukan oleh tumbuh-tumbuhan.

Tanah turut terhakis dan kesuburan tanah semakin menghilang. Jadi hargailah alam semulajadi.

* Adriana Nabilla Mohd Anuar ialah wartawan Sinar Harian