Polis rampas arak seludup bernilai RM32,000

Anbalagan menunjukkan arak seludup yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Serdang pada Rabu.
Anbalagan menunjukkan arak seludup yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Serdang pada Rabu.
A
A
A

SERDANG - Sebuah kilang yang dijadikan stor penyimpanan dan pengedaran arak seludup di Taman Perindustrian Puchong, di sini diserbu sepasukan polis pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 29 tahun pada jam 5 petang.

"Hasil siasatan mendapati lelaki tersebut merupakan pembantu stor berkenaan dan premis tersebut disyaki aktif sejak lima atau enam bulan lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini pada Rabu.

Anbalagan berkata, pihaknya merampas 11,376 tin 600 botol arak seludup yang dianggarkan bernilai RM32,000 dengan anggaran nilai taksiran cukai adalah RM145,000.

"Kita turut merampas satu telefon bimbit, serangkai kunci, alat kawalan jauh dan sebuah lori jenis Isuzu warna putih. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti saki baki ahli sindiket yang terlibat.

"Hasil siasatan lanjut mendapati kilang dan van tersebut didaftarkan atas nama syarikat lain," ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen.

"Kita akan menjalankan operasi kontraban ini secara berterusan dan saya berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan kepada polis," katanya.

Artikel Berkaitan: