Tiga pengedar ubat batuk ditahan

Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Sisatan Jenayah Narkotik Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Sisatan Jenayah Narkotik Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga lelaki termasuk dua warga Thailand ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai terbabit dalam pengedaran 1,616 botol cecair ubat batuk di Kampung Lubok Agor, Chawas, Tanah Merah, pada Isnin.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 6.30 petang.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, suspek yang ditahan berusia 45, 49 dan 58 tahun.

Superintendan Mat Shukor
Superintendan Mat Shukor

“Ketika serbuan tiba di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lubok Agor, Chawas, Tanah Merah, anggota melihat tiga lelaki berada di hadapan rumah dalam keadaan mencurigakan dan menahan mereka.

“Pemeriksaan di rumah itu menjumpai 1,616 botol ubat batuk berjumlah 159 liter yang dianggarkan bernilai RM16,160,” katanya pada sidang akhbar di Kem Batalion 8 Pengkalan Chepa di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menjumpai air ketum berjumlah 1.5 liter.

“Urin seorang daripada suspek iaitu lelaki yang berusia 49 didapati positif dadah.

Artikel Berkaitan:

“Ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan dan barang kes yang dirampas dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mereka ditahan reman selama empat hari berkuat kuasa pada Selasa sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya.