Cisse mahu Senegal pamer aksi lebih baik

Mane - Foto mininewsfeed.com
Mane - Foto mininewsfeed.com
A
A
A

PENGENDALI Senegal, Aliou Cisse mahu skuad kendaliannya itu mempamerkan aksi lebih baik pada saingan suku akhir nanti bagi menjamin kemaraan lebih jauh pada saingan Piala Negara-Negara Afrika 2022.

Menurutnya, pemain juga diharap tidak terlalu dibuai kemenangan ke atas Cape Verde pada Rabu kerana dikhuatiri ia boleh menjejaskan tumpuan masing-masing kelak.

Oleh itu katanya, pemain perlu kembali fokus selain memantapkan persediaan menjelang saingan suku akhir nanti.

“Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini. Kini kami berada di suku akhir dan sudah pasti cabarannya lebih getir menanti kami.

“Oleh itu, semua pemain diingatkan untuk terus fokus bagi mengharungi aksi suku akhir nanti dan tidak terlalu ‘dibuai’ kemenangan hari ini (Rabu).

“Apa yang penting ketika ini adalah mereka perlu bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menjamin kejayaan di suku akhir nanti,” katanya.

Aksi kalah mati pada Rabu menyaksikan skuad Lions Of Teranga itu menewaskan Cape Verde 2-0 menerusi jaringan cantik bintang Liverpool, Sadio Mane pada minit ke-63 sebelum pemain gantian Bamba Dieng menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, Cape Verde terpaksa beraksi dengan sembilan pemain setelah Patrick Andrade dilayangkan kad merah pada minit ke-21 sebelum penjaga gol, Vozinha turut diperintahkan keluar padang pada minit ke-57.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai perlawanan berkenaan, Cisse mengakui ia satu perlawanan yang sukar buat Senegal susulan tentangan sengit yang diberikan Cape Verde.

Malah katanya, formasi bertahan yang digunakan skuad yang terkenal dengan gelaran Blue Sharks itu nyata cukup menjadi dan menyukarkan jentera serangan Senegal diketuai Sadio Mane untuk bergerak bebas.

“Seperti dijangka, Cape Verde beraksi dengan corak bertahan yang cukup menjadi. Mereka mengekang pergerakan kami di segenap sudut, namun mujurlah kami berjaya menjaringkan dua gol bagi memastikan kemenangan,” katanya.