PRN Johor: BN guna kreativiti dekati pengundi

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
A
A
A

LUMUT - Barisan Nasional (BN) memilih untuk mematuhi segala peraturan dan larangan yang dikeluarkan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, parti itu akan menggunakan kreativiti untuk mendekati rakyat sekiranya kerajaan mengekalkan larangan kempen secara bersemuka seperti PRN Melaka tahun lalu.

"Kita akan mengikut segala peraturan dan arahan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kementerian lain yang dipertanggungjawabkan kerana kita masih dalam suasana Covid-19.

"Itu pendirian BN, kita tidak mahu melangkaui atau pun mengingkari arahan-arahan dibuat," katanya ketika ditemui pada sambutan penerbangan sulung SKS Airways ke Pulau Pangkor bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Lapangan Terbang Pangkor di sini pada Selasa.

Beliau diminta mengulas mengenai gesaan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) supaya SPR membenarkan kegiatan kempen bersemuka dan ceramah dibenarkan dalam PRN Johor.

Kenyataan itu menyebut, ia kerana keadaan wabak Covid-19 di Malaysia sudah semakin stabil, justeru kegiatan seperti kempen bersemuka secara selamat patut dibenarkan.

Zambry berkata, larangan ceramah dan kempen bersemuka sebenarnya tidak memberi kelebihan kepada parti itu walaupun BN berada di pihak kerajaan.

"Ia bukan soal memberi kelebihan kepada sesiapa pun kerana apabila sebarang peraturan diperkenalkan, ia dikenakan kepada semua pihak yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Persoalannya bagaimana kita menggunakan kreativiti untuk dekati rakyat, itu dilihat lebih penting dan pada masa sama kita hendaklah menjaga peraturan dan segala arahan dikeluarkan oleh pihak kerajaan," katanya.