Polis lakukan rondaan di jalan 'New Zealand'

Tangkap layar berita dilaporkan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Shafiei
Tangkap layar berita dilaporkan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Shafiei
A
A
A

SEREMBAN - Polis akan membuat rondaan pemantauan di Lebuh Raya Temiang-Pantai di sini yang mendapat jolokan jalan 'New Zealand' bagi memastikan tiada aktiviti yang menyalahi undang-undang dilakukan di lokasi berkenaan terutama pada hujung minggu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, jalan terbabit yang kini menjadi tumpuan orang ramai bukan saja untuk mengambil gambar tetapi juga melakukan aktiviti riadah boleh mengundang bahaya.

"Aktiviti joging dan naik basikal tiada masalah asalkan tidak menjalankan aktiviti yang boleh mengundang bahaya.

"Tetapi parkir di laluan kecemasan tidak dibenarkan dan jadi satu kesalahan. Saya difahamkan ada juga yang ambil kesempatan untuk berniaga, ia memang tak dibenarkan kerana menjadi kesalahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, pihak polis akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Seremban dan Jabatan Kerja Raya berkenaan tempat sesuai yang boleh mengambil gambar.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta tidak melakukan sesuatu aktiviti di lokasi terbabit yang boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan sekumpulan individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat selepas gambar mereka berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di Lebuh Raya Temiang-Pantai tular di media sosial, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata, tindakan itu diambil setelah polis mengesan gambar tular di Facebook memaparkan sekumpulan individu dipercayai dari sebuah kelab kereta yang berkumpul di sepanjang lorong kecemasan untuk merakam gambar di Lebuh Raya Temiang-Pantai pada Sabtu lepas kira-kira jam 6.30 petang.

Artikel Berkaitan:

"Polis sudah mengenal pasti 48 buah kenderaan yang berhenti di situ dan sebagai permulaan ketua kelab bersama 'admin' Facebook kelab berkenaan akan dipanggil memberi keterangan.

"Tindakan itu merupakan satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna lain yang menggunakan laluan ini dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mana-mana individu di bawah Kaedah 53(1) LN 166/59 Peraturan-peraturan Lalulintas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin