'Doakan pertemuan Pas, UMNO capai persefahaman'

Gambar kecil: Datuk Onn Hafiz Ghazi
Gambar kecil: Datuk Onn Hafiz Ghazi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Gagasan Muafakat Nasional (MN) di Johor yang sehingga kini masih dituntut Pas negeri seakan mempunyai harapan apabila terdapat pemimpin dalam kalangan UMNO yang memberikan sokongan.

Terbaharu, Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendoakan agar pertemuan antara Pas dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mengenai kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mendapat persetujuan yang dikehendaki.

“Saya berdoa agar perbincangan (Menteri Besar) Datuk Hasni Mohammad dengan (Pesuruhjaya Pas Johor) Tuan Haji Abdullah Husin berjalan dengan baik dan lancar.

“Sama-samalah kita berdoa agar mereka dapat menjumpai titik pertemuan dan persefahaman yang akhirnya akan membuahkan hasil yang terbaik kepada rakyat Johor,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya pada Selasa.

Diakhir hantaran Facebooknya, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang menggunakan tanda pagar Muafakat Nasional dan Makmur Johor yang seringkali digunakan pelayar laman sosial sebagai sokongan kepada kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pas Johor berharap masih ada peluang kepada parti itu untuk bekerjasama dengan UMNO dalam MN pada PRN Johor yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Menurut Pesuruhjayanya, Abdullah Hussin mesyuarat mengenai perkara itu akan diadakan bersama Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad tidak lama lagi.

Kerjasama MN di negeri ini dilihat malap apabila pelbagai tentangan diberikan pimpinan UMNO Johor selepas tindakan Pas membuat keputusan untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka pada November lepas.

Artikel Berkaitan:

Antara pimpinan UMNO yang lantang menolak kerjasama itu adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.