KM Sabah tangkis dakwaan 'hilang' ketika PKP

Hajiji bersama sebahagian penjawat awam yang hadir pada Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Sabah di SICC, Kota Kinabalu.
Hajiji bersama sebahagian penjawat awam yang hadir pada Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Sabah di SICC, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menangkis dakwaan beliau 'hilang' ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang lalu.

Sebaliknya beliau menjelaskan, walaupun pergerakannya dan seluruh jemaah menteri ketika itu terbatas namun tidak pernah berhenti bekerja merangka dan mengerakkan jentera kerajaan untuk menangani krisis kesihatan itu.

"Sepanjang PKP, pergerakan saya dan seluruh jemaah menteri amat terbatas dan tidak dapat turun padang meninjau serta bertemu rakyat secara bersemuka.

"Sehingga ada pihak yang mengambil kesempatan memainkan sentimen bahawa Ketua Menteri telah hilang. Hakikatnya, kita tidak hilang dan kita tidak pernah berhenti bekerja termasuk memastikan bantuan sampai kepada rakyat khususnya mereka yang terkesan secara langsung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Pejawat Awam Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.

Hadir sama pada perhimpunan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untung.

Hajiji berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah ketika itu juga bersidang setiap hari bagi menanggani pandemik Covid-19.

"Setiap hari tanpa henti juga, saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana, memantau situasi pandemik di setiap kawasan serta memastikan pelaksanaan setiap tindakan yang diputuskan.

Artikel Berkaitan:

"Kita beroperasi melalui platform dan medium yang telah diaktifkan sepenuh masa di semua peringkat," katanya.

Katanya, hasil kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, kerajaan berupaya menggerakkan usaha berterusan menanggani Covid-19 daripada pelbagai aspek.

"Kerajaan negeri akan terus meletakkan keutamaan untuk menangani pandemik ini dengan strategi berfokus walaupun melibatkan kos yang besar.

"Sejak bermulanya krisis ini, kerajaan negeri membelanjakan peruntukan melebihi RM 1.2 bilion dan perbelanjaan ini merangkumi pelbagai aspek termasuk Pakej Bantuan Sabah Prihatin (BSP) yang meliputi bantuan tunai dan bantuan bakul makanan kepada golongan sasar.

"Kerajaan negeri juga amat menghargai pelbagai jenis bantuan yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan sama ada melalui kerajaan negeri mahupun secara langsung kepada rakyat di Sabah," katanya.