Teruskan sistem kuota buruh asing untuk pemulihan ekonomi: MEF

Sistem kuota khas pengambilan pekerja asing perlu diteruskan bagi membolehkan sektor swasta mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia. - Gambar hiasan
Sistem kuota khas pengambilan pekerja asing perlu diteruskan bagi membolehkan sektor swasta mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata, sistem kuota khas pengambilan pekerja asing perlu diteruskan bagi membolehkan sektor swasta mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia.

Persekutuan itu berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa ekonomi negara terjejas teruk akibat sekatan pergerakan yang berpanjangan disebabkan oleh Covid-19 dan banjir baru-baru ini, khususnya di Lembah Klang.

Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pemberhentian sistem kuota akan memberi kesan kepada keperluan operasi majikan.

"Adalah amat kritikal bagi kami untuk meletakkan usaha pemulihan dengan cepat di landasan yang betul, terutamanya dengan pengumuman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini bahawa Vietnam telah mengatasi Malaysia untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

"MEF berpendapat bahawa kuota harus berasaskan permintaan sektor dan syarikat. Jika majikan menderita, semua dalam rantaian bekalan juga akan menderita,” katanya sambil menambah bahawa buruh asing diperlukan dalam sektor-sektor tertentu.

Syed Hussain juga berkata berdasarkan data IMF mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar untuk 2020, Malaysia kini berada di kedudukan keenam dalam ASEAN. Negara Filipina dan Singapura mengatasi Malaysia pada 2015.- Bernama

Artikel Berkaitan: