KPM peruntuk RM48 juta bina bangunan baharu SK Rampayan

Mohamad Alamin (tiga dari kiri) diberi penerangan oleh Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Dr Gerturudo Jock (dua, kiri) ketika melakukan lawatan bangunan pejabat baharu Institut Pendidikan Gaya pada Isnin. - Foto Bernama
Mohamad Alamin (tiga dari kiri) diberi penerangan oleh Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Dr Gerturudo Jock (dua, kiri) ketika melakukan lawatan bangunan pejabat baharu Institut Pendidikan Gaya pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan peruntukan RM48 juta bagi membina bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Manggatal, dekat sini.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, pembinaan bangunan sekolah itu akan dilakukan di tapak baharu seluas 20.2 hektar iaitu tanah rizab pendidikan di Kingfisher, Likas, di sini.

Beliau berkata, pembinaan bangunan baharu itu juga bagi menggantikan bangunan sekolah sedia ada yang dikategorikan sebagai daif, selain sering berdepan masalah banjir.

"KPM dan Jabatan Kerja Raya sedang menyelesaikan beberapa urusan teknikal. Kita harap pelaksanaannya dapat dipercepatkan kerana sekolah ini berdepan dua isu besar iaitu sering dilanda banjir dan sekolah daif yang perlu dinaik taraf segera.

"Bangunan (baharu) sekolah ini akan dipindahkan ke tapak baharu seluas 50 ekar (20.2 hektar) kerana tempat sekarang (bangunan sedia ada) sudah tidak dapat menampung (murid), ia (keluasan sekolah) hanya lebih satu ekar (0.4 hektar) sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya sempena Lawatan Tindak Susul Parlimen di Sabah pada Isnin.

Sebelum itu, Mohamad turut mengadakan lawatan ke sekolah rendah terbabit dan IPG Kampus Kent di Tuaran bagi meninjau kemudahan-kemudahan infrastruktur diperlukan di institusi terbabit untuk keselesaan pelajar dan kakitangan.

Mengenai lawatan ke IPG Kampus Gaya, Mohamad berkata, ia bertujuan meninjau status pembinaan fasa dua bangunan pentadbiran baharu yang dilengkapi dengan dewan serbaguna, auditorium dan tempat letak kereta, memandangkan ia sudah siap dibina namun masih belum boleh digunakan.

Beliau berkata, bangunan pentadbiran enam tingkat yang mula dibina pada Jun 2019 dengan kos RM58 juta itu akan menempatkan pengurusan tertinggi, pensyarah dan kakitangan pengurusan IPG Kampus Gaya.

Artikel Berkaitan:

IPG Kampus Gaya yang dibangunkan pada 1963 kini mempunyai 1,045 pelajar sepenuh masa dan 305 pelajar separuh masa. - Bernama