TDM tawar 800 peluang pekerjaan dalam sektor perladangan

TDMP menawarkan 800 peluang pekerjaan kepada warga tempatan untuk ditempatkan di semua ladang syarikat di Terengganu.
TDMP menawarkan 800 peluang pekerjaan kepada warga tempatan untuk ditempatkan di semua ladang syarikat di Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Anak Syarikat kerajaan Terengganu, TDM menerusi bahagian perladangan syarikat, TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) menawarkan 800 peluang pekerjaan kepada warga tempatan untuk ditempatkan di semua ladang syarikat di Terengganu.

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, ia bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing terutaman di kawasan luar bandar Pantai Timur Semenanjung Malaysia,

"TDMP berhasrat untuk merekrut 800 lagi pekerja tempatan untuk ditempatkan di ladang syarikat di Terengganu.

"Ia bertepatan dengan rancangan syarikat untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing sekali gus membantu menjana peluang ekonomi kepada rakyat tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, TDMP kini giat merekrut penduduk tempatan terutama masyarakat setempat bagi membantu mereka yang terjejas dalam tempoh pandemik Covid-19 selain mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja susulan penutupan sempadan negara.

"Bahagian perladangan syarikat TDMP, sering menghadapi cabaran dalam menarik minat warga tempatan untuk pekerjaan yang sukar, bahaya, kotor, dan merendahkan (4D).

"Kami sedia maklum mengenai kekurangan minat rakyat Malaysia terutama generasi muda untuk mengisi peluang pekerjaan yang ada dalam industri ini, namun kami komited mendorong masyarakat untuk berkecimpung dalam bidang ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

TDMP kini giat merekrut pekerja tempatan untuk bekerja dalam sektor perladangan di Terengganu.
TDMP kini giat merekrut pekerja tempatan untuk bekerja dalam sektor perladangan di Terengganu.

Beliau berkata, sehingga kini, TDMP berjaya merekrut 1,422 pekerja tempatan terdiri daripada operator mesin separa mahir, penuai buah kelapa sawit dan pekerja am di 13 ladang syarikat di Terengganu.

"Dalam tempoh yang mencabar ini, kami bukan sahaja berusaha untuk memberi jaminan pekerjaan kepada kakitangan syarikat dan pekerja kami, namun turut menawarkan peluang pekerjaan bagi memberi pendapatan stabil kepada tenaga kerja tempatan.

"Komitmen ini secara langsung dapat membantu operasi perladangan syarikat dan pada masa yang sama membolehkan komuniti setempat berdaya saing dalam mengharungi landskap ekonomi baharu," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Hamdan Ibrahim berkata, TDMP memberi penekanan dalam membangunkan pekerja separuh mahir, menyemak semula pelan imbuhan pekerja dan mempelbagaikan tawaran bagi menarik dan mengekalkan pekerja tempatan.

Beliau berkata, selain kemudahan latihan, penginapan dan kesihatan, pihak syarikat turut memberikan pakej gaji yang kompetitif, bayaran insentif, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), cuti tahunan, elaun, kemudahan pengangkutan untuk anak-anak ke sekolah serta pelbagai insentif pekerjaan lain kepada pekerja ladang.

"Pihak syarikat juga mengambil inisiatif menggunakan jentera moden dan peralatan mekanikal untuk kerja-kerja penuaian, pemindahan buah tandan segar (BTS) serta penjagaan dan penyelenggaraan ladang sawit yang akan menjadi penyumbang utama dalam meningkatkan kecekapan operasi ladang syarikat.

"Melalui pelan imbuhan baharu dan pencapaian kadar produktiviti, ada dalam kalangan penuai buah kelapa sawit berjaya meraih pulangan gaji lumayan antara RM3,000 hingga RM4,000 walau hanya beberapa bulan bekerja," katanya.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Operasi TDMP di talian 09-6204800 atau mengunjungi ladang TDMP terdekat.