Pengantin baharu terima anugerah tertinggi konvokesyen

Noor Syafiqah Azim bersama suami selepas menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-12 pada Ahad.
Noor Syafiqah Azim bersama suami selepas menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-12 pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Pengantin yang baharu melangsungkan perkahwinan pada Sabtu menerima hadiah bermakna apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-12 pada Ahad.

Kecemerlangan Noor Syafiqah Azim Mohd Zainurin, 26, graduan Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Informatik Media) yang memperoleh keputusan cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.85 selain aktif dalam kokurikulum melayakkan beliau menerima anugerah tertinggi.

Lebih bermakna, gadis ini turut berkongsi pentas bergraduasi bersama suaminya, Izran Iskandar Rosli, 26, dari Pasir Gudang, Johor yang merupakan rakan sekuliah.

Noor Syafiqah Azim berkata, walaupun terpaksa hadir ke majlis konvokesyen dalam keadaan 'sedikit kalut' berikutan majlis perkahwinannya di Semenyih, Selangor diadakan sehari sebelum hari graduasi, namun ia memberi momen membahagiakan.

"Selepas selesai majlis, kami berkemas dan terus bertolak ke Terengganu pada jam 11 malam bersama suami, keluarga dan mentua dengan menaiki enam buah keluarga dan tiba di sini jam 6 pagi tadi," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Menurut beliau yang berasal dari Semenyih, majlis perkahwinan tetap diteruskan selepas menerima tarikh konvokesyen kerana ia sudah ditetapkan lebih awal.

"Apapun saya bersyukur, rasa mungkin sedikit kalut tapi saya kita hanya merancang tapi ALLAH SWT adalah sebaik-baik perancang," katanya yang akan memulakan kerjaya sebagai pencipta kandungan digital di sebuah syarikat konglomerat media swasta bermula Februari nanti.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Lim Jing Ying, 24, berkata, anugerah tersebut menjadi pendorong untuk dia meneruskan pelajaran ke peringkat sarjana.

Artikel Berkaitan:

"Selepas tamat Ijazah Sarjana Muda Diatetik pada Februari 2020, saya meneruskan pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang sama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Mac.

"Selesai ini, saya berhasrat untuk teruskan pula ke peringkat doktor falsafah untuk mengejar cita-cita sebagai pensyarah," katanya yang memperoleh PNGK, 3.87.

Jing Ying kini sedang menyiapkan kajian dalam pembangunan aplikasi mudah alih diet untuk pesakit yang mengalami gangguan metabolisme protein.

Penganugerahan ini membolehkan Noor Syafiqah Azim dan Jing Ying menerima wang tunai sebanyak RM7,500, sijil dan pingat bersadur emas bernilai RM1,000.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 3,345 graduan UniSZA menerima ijazah masing-masing selama lima hari bermula Ahad.

Majlis Perasmian disempurnakan oleh Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Dr Mohamad Yusof Mohamed Nor.