Presiden PKBM terima Anugerah Merit ACF

Abu Samah
Abu Samah
A
A
A

PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab muncul tokoh sukan pertama negara menerima Anugerah Merit Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) daripada badan induk dunia, pada Isnin.

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, merit ACF itu diusulkan Presiden ACF Jeneral Decha Hemkasri dan diterima sebulat suara Ahli Pengurusan Eksekutif Persatuan Berbasikal Asia (ACA) sebelum diluluskan Kongres ACF 2023 yang bermesyuarat di Siam Reap, Kemboja pada 10 Mei lepas.

"Pencapaian ini bermakna beliau muncul tokoh sukan pertama di negara ini menerima pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), benua - Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan wilayah serantau (ACF),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat ACC sebelum ini pernah menerima Anugerah Merit UCI pada 2012 dan merupakan penerima ketiga dari Malaysia selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan bekas Presiden ACC, Tan Sri Darshan Singh.

Sementara itu, Abu Samah menganggap pengiktirafan terbaharu tersebut sebagai pembuka mata kepada semua tokoh sukan berbasikal di negara ini.

"Saya berterima kasih kepada ACF yang telah mengiktiraf semua kerja saya sejak awal 90-an. Saya ikhlas dan komited untuk membangunkan dunia berbasikal di Asia dan ASEAN bersama rakan-rakan dari negara lain.

"Saya sentiasa bersedia untuk membimbing generasi muda agar menjadi pentadbir muda sukan yang berkaliber dan berkualiti,” katanya. - Bernama