20 penumpang, pemandu cedera bas rempuh belakang treler

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan anggota bomba dari BBP Temerloh membantu mengeluarkan penumpang selepas bas dinaiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 132.5 LPT1 dekat Temerloh pada petang Ahad.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan anggota bomba dari BBP Temerloh membantu mengeluarkan penumpang selepas bas dinaiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 132.5 LPT1 dekat Temerloh pada petang Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Pemandu bersama 20 penumpang sebuah bas ekspres cedera selepas bas dinaiki merempuh belakang treler di Kilometer 132.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Temerloh pada petang Ahad.

Dalam kemalangan jam 4.43 petang itu, pemandu bas berusia 43 tahun cedera di bahagian kepala dan tangan manakala rata-rata penumpang cedera pada bahagian kaki.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, pemandu treler berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, bas berkenaan yang berada di lorong kiri cuba menukar laluan ke kanan.

"Semasa cuba menukar laluannya, pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandu lalu melanggar bahagian belakang treler membawa muatan besi yang berada di lorong kiri," katanya ketika dihubungi pada malam Ahad.

Kamarulzaman berkata, akibat pelanggaran itu, bas terbabit remuk pada bahagian hadapan dan cermin besarnya pecah.

Artikel Berkaitan:

Keadaan bas yang remuk pada bahagian hadapan selepas melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 132.5 LPT 1 dekat Temerloh pada petang Ahad.
Keadaan bas yang remuk pada bahagian hadapan selepas melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 132.5 LPT 1 dekat Temerloh pada petang Ahad.

"Pemandu dan penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan.

"Difahamkan pemandu dan penumpang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai tujuh anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

Menurutnya, pihaknya membantu mengeluarkan mangsa yang masih berada di dalam bas.

"Mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh petugas kesihatan dan anggota EMRS sebelum dihantar menerima rawatan lanjut ke HoSHAS," katanya.