Akademi tebar roti canai bakal diwujudkan di Negeri Sembilan

Sebuah akademi khusus untuk mengajar kemahiran menebar roti canai akan diwujudkan di Negeri Sembilan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Taufek)
Sebuah akademi khusus untuk mengajar kemahiran menebar roti canai akan diwujudkan di Negeri Sembilan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Taufek)
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah akademi khusus untuk mengajar kemahiran menebar roti canai akan diwujudkan di Negeri Sembilan.

Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, hasrat itu bakal menjadi realiti dalam tempoh dua bulan akan datang.

"Ia akan dilaksanakan menerusi kerjasama antara Pejabat Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Yayasan Negeri Sembilan (YNS), Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (Tabah) dan Restoran Abang Terbang.

"Sehubungan itu, satu sesi perbincangan awal membabitkan semua pihak yang berkaitan telah diadakan di Bangunan YNS," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Sabtu.

Menurut Mohamad Taufek, mengikut perancangan awal, satu silibus khas akan dirangka untuk dimasukkan dalam senarai kursus jangka pendek yang boleh ditawarkan oleh Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS) kepada belia.

Selain itu katanya, karier dalam penyediaan roti canai menjanjikan pulangan yang lumayan.

"Kalau dilihat, mana-mana gerai atau kedai makan yang menawarkan menu berasaskan roti canai, lazimnya sering jadi tumpuan pelanggan.

"Sebab itu, saya cuba wujudkan sinergi antara Restoran Abang Terbang dan YNS. Abang Terbang bukan sahaja kreatif dalam penghasilan roti canai, malah mempunyai pendekatan tersendiri dalam aspek promosi dan publisiti produk mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kejayaan Restoran Abang Terbang di pekan Kuala Pilah mampu menjual antara 400 hingga 500 keping roti canai sehari pada hari bekerja dan antara 600 hingga 700 keping roti canai sehari pada hujung minggu boleh dijadikan sumber inspirasi kepada golongan belia.