Jokowi kesal sikap Myanmar terhadap konsesus lima perkara

Joko Widodo
Joko Widodo
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia Joko Widodo melahirkan rasa kesal kerana junta tentera Myanmar "tidak komited untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC )” semasa lawatan Perdana Menteri Kemboja dan Pengerusi Asean Samdech Techo Hun Sen baru-baru ini.

Kekecewaan itu disampaikan semasa perbualan keduanya dengan Hun Sen bulan ini.

Perbualan menerusi telefon itu berlaku pada 21 Januari atas permintaan kerajaan Kemboja untuk mengemas kini hasil lawatan dua hari Hun Sen ke Myanmar, kata Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan.

Semasa perbincangan itu, kementerian berkata, Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, menekankan pendekatan Asean terhadap Myanmar haruslah berdasarkan prinsip yang dipersetujui, khususnya 5PC.

Beliau mengulangi bahawa pelaksanaan 5PC tidak boleh dikaitkan dengan pelan hala tuju lima perkara yang dicadangkan oleh pihak berkuasa tentera Myanmar (Majlis Pentadbiran Negeri).

Myanmar seharusnya hanya diwakili di peringkat bukan politik pada mesyuarat Asean jika tiada kemajuan ketara dalam melaksanakan 5PC, kata kenyataan itu.

Jokowi juga menggesa tentera Myanmar untuk menyediakan akses kepada Duta Khas Pengerusi Asean untuk berkomunikasi dengan semua pihak yang berkenaan bagi mencapai dialog nasional yang menyeluruh.

Menyentuh mengenai cadangan Hun Sen untuk menubuhkan troika bagi memantau pelaksanaan 5PC, kementerian berkata, presiden mencadangkan perkara itu dibincangkan oleh Menteri-menteri Luar Asean.

Artikel Berkaitan:

5PC itu ialah; menamatkan keganasan, mengadakan perbincangan yang membina di kalangan semua pihak berkepentingan, Asean memberikan bantuan kepada Myanmar, pelantikan Duta Khas Asean untuk menjalankan perbincangan, dan utusan itu dibenarkan melawat negara berkenaan.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan mesyuarat perundingan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi.

Pada 5 Januari, Jokowi melanjutkan sokongannya kepada Kemboja sebagai Pengerusi Asean untuk 2022 dan turut membincangkan perkembangan di Myanmar semasa panggilan telefon dengan Hun Sen. - Bernama