RM62 juta bantu pesawah atasi kenaikan harga racun

Ronald (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Logo Sambutan 50 tahun KADA 1972-2022 di Ladang Merdeka, Jelor, Pasir Puteh pada Ahad.
Ronald (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Logo Sambutan 50 tahun KADA 1972-2022 di Ladang Merdeka, Jelor, Pasir Puteh pada Ahad.
A
A
A
PASIR PUTEH - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menambah peruntukan sebanyak RM62 juta untuk subsidi racun kepada para pesawah bagi menampung kenaikan harga barangan itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, bantuan di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) itu mampu memanfaatkan lebih 300,000 pesawah yang mengusahakan tanaman di atas tanah berkeluasan 620,000 hektar di seluruh negara.

"Peruntukan ini adalah tambahan RM100 kepada bantuan subsidi racun RM200 yang diberikan kepada para pesawah sebelum ini.

"Kita naikkan daripada RM200 kepada RM300 sehektar untuk pembelian racun," katanya ketika ditemui semasa merasmikan Majlis Pelancaran Logo Sambutan 50 tahun Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) 1972- 2022 di Ladang Merdeka, Jelor di sini pada Ahad.

Hadir sama Timbalan MAFI II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md Nor; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Ronald turut menyaksikan Majlis Tandatangan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara KADA dan Syarikat Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) dan MoU KADA bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) bagi membangunkan Projek Perintis Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di Pasir Puteh dan Pasir Mas.

Menurutnya, MAFI sentiasa mencari jalan untuk membantu pesawah walaupun berlaku kenaikan mendadak harga racun ketika ini.

Beliau berkata, bantuan itu merupakan salah satu usaha menambah pengeluaran hasil yang diusahakan oleh para pesawah.

Ronald berkata, selain itu bantuan subsidi baja masih diteruskan oleh kerajaan bagi membantu meringankan beban para pesawah.
Artikel Berkaitan:


"Melalui program Smart SBB, MAFI berhasrat meningkatkan pengeluaran hasil padi dan beras pada masa hadapan sekitar tujuh hingga lapan metrik tan sehektar," katanya.

Menurutnya, MAFI optimis sasaran itu mampu dicapai menerusi teknologi moden yang ada ketika ini.

Katanya, selain itu ia turut dipacu oleh pengurusan yang efisien termasuk kerjasama pintar antara agensi kerajaan dengan pihak swasta.