'Banyak kerja perlu diselesaikan terlebih dahulu...'

Wan Jamak. (Gambar kecil) Laporan Sukan Sinar pada Jumaat.
Wan Jamak. (Gambar kecil) Laporan Sukan Sinar pada Jumaat.
A
A
A

PEMINAT dan penyokong bola sepak tanah air diminta untuk tidak melatah terlalu awal sekiranya ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon gagal untuk menjelmakan kejayaan dalam tempoh terdekat.

Bekas pengendali pasukan kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, ia memandangkan banyak kerja rumah yang perlu diselesaikan pengendali kelahiran Korea itu termasuklah untuk menilai pemain-pemain skuad kebangsaan.

Menurut Wan Jamak, dengan reputasi hebat yang dimiliki Pan-gon sebelum ini selain kehadiran beberapa jurulatih yang dibawa masuk olehnya bagi membantu pasukan kebangsaan, beliau berharap Harimau Malaya mampu mengaum semula sekali gus menjadi antara pasukan terkuat di rantau Asia Tenggara.

“Sudah tentu kita tidak boleh lihat kejayaan dengan cepat selepas pelantikan Pan-gon kerana ia bukan satu tugas mudah buat dirinya kerana banyak kerja yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Berikan dia sedikit masa untuk lakukan perubahan kepada pasukan kebangsaan. Tetapi dalam masa yang sama jangan bagi dia terlalu selesa tanpa tekanan sangat.

“Sebab kita takut jika dia terlalu selesa dengan tugasnya, dia tidak akan dapat buat dengan baik dan akan merugikan pasukan kebangsaan itu sendiri,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Pada Jumaat, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pelantikan Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu itu dibuat selepas mengambil kira beberapa ciri-ciri yang dimahukan FAM antaranya adalah bakal jurulatih itu mestilah seorang yang memahami budaya bola sepak Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika ditanya ditanya mengenai cadangan untuk melantik ketua jurulatih sebagai pengurus pasukan Wan Jamak berkata, ia satu mekanisme terbaik dalam usaha meningkatkan kualiti Harimau Malaya.

Jelasnya, dengan cara tersebut, ketua jurulatih akan mendapat kuasa autonomi dalam membentuk pasukan yang diinginkan dengan mengusulkan cadangan tersebut kepada hanya pihak atasan tanpa melalui pihak yang lain.

“Kalau kita lihat trend mana-mana pasukan di peringkat atasan mereka akan meletakkan ketua jurulatih itu sebagai pengurus pasukan supaya tiada percanggahan pendapat atau idea daripada pihak yang lain.

“Ini supaya apa yang dirancang oleh jurulatih itu dapat berjalan dengan lancar tanpa ada gangguan yang saya lihat akan membantu prestasi pasukan itu sendiri,” katanya.