X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Dana RM10 juta bantu pengoperasian FAM

Ahmad Faizal Azumu
A
A

DANA berjumlah RM10 juta yang disumbangkan kerajaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah suatu keperluan memandangkan badan induk bola sepak itu mengalami kekangan sumber kewangan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kekangan sumber kewangan itu menyebabkan FAM sukar untuk beroperasi secara menyeluruh termasuk dari sudut penganjuran liga di peringkat akar umbi.

"Mereka (FAM) tidak mendapat pendapatan, iaitu hasil daripada penganjuran liga dan ini menyukarkan mereka untuk beroperasi dan atas sebab itu kerajaan membantu.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sendiri tentunya akan beri kerjasama penuh kepada FAM untuk mempopularkan lagi sekali gus mengekalkan bola sepak sebagai sukan nombor satu di Malaysia," katanya pada sidang media selepas merasmikan Akademi Tunas Tambun Perak di Padang Awam Tanjung Rambutan di sini pada Sabtu.

Pada 17 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, dana sumbangan RM10 juta yang disalurkan kepada FAM membuktikan sokongan kerajaan kepada pembangunan bola sepak negara.

Ahmad Faizal turut menafikan dakwaan kononnya sumbangan kepada FAM itu menyebabkan kerajaan mengambil langkah memotong peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada sukan lain meskipun sukan-sukan itu lebih cemerlang dalam mengharumkan nama negara berbanding bola sepak.

"Kerajaan perlu berbelanja mengikut kemampuan. Itu sedang kami lakukan dan apa jua permasalahan kami sedang ambil perhatian yang serius dan akan memastikan ia dapat dirungkai secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) Kim Pan Gon selaku ketua jurulatih Harimau Malaya baharu, Ahmad Faizal percaya kredibiliti pengendali itu mampu meningkatkan kembali prestasi dan mutu bola sepak skuad kebangsaan.

Ahmad Faizal berkata, keyakinan itu berdasarkan penelitian dan kajian mendalam dilaksanakan FAM dalam mengenal pasti calon bersesuaian untuk mengisi jawatan berkenaan, yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe.

"Saya ucapkan tahniah kepada jurulatih (Kim Pan Gon) dan tentunya FAM mengkaji sebaik mungkin dalam memastikan kriteria-kriteria yang perlu dipenuhi sebelum membuat apa-apa pelantikan," katanya.

Jurulatih berusia 52 tahun itu akan melapor diri pada pertengahan Februari, dengan kontrak selama dua tahun dan pilihan tambahan dua tahun lagi. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!