99.9 peratus ahli Pas berpuas hati gugurkan Mohd Khairuddin

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Tidak perlu penjelasan rasmi meskipun ada desakan dari segelintir pemimpin berhubung pengguguran Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pengguguran Mohd Khairuddin adalah disebabkan masalah disiplin dan majoriti ahli Pas menyokong keputusan tersebut.

"Isu disiplin perkara dalaman parti, untuk ahli-ahli parti sahaja. Sehingga kini saya mendapat maklumat dari akar umbi 99.9 peratus berpuas hati," katanya selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.

Menurut Abdul Hadi, beberapa tindakan awal seperti nasihat sudah diambil sebelum jawatan Mohd Khairuddin itu digugurkan.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci masalah disiplin bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu hingga membawa kepada pengguguran jawatan tersebut.

Abdul Hadi berkata, keperluan kepada pengganti Mohd Khairuddin akan dilihat dari masa ke masa dan setakat ini kerja-kerja parti masih berjalan dengan lancar.

Ahli Parlimen Marang itu turut menegaskan bahawa isu pengguguran tersebut tidak akan membawa perpecahan dan menjejaskan Pas.

"Tidak ada perpecahan, kita telah mengalami lebih besar dari itu," katanya yang turut menyentuh penubuhan Parti Amanah Negara dan krisis di Kelantan pada tahun 1979.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hadi sebelum ini mengesahkan Mohd Khairuddin digugurkan daripada jawatan AJK Pas selepas tidak sampai dua bulan dilantik semula jawatan tersebut.

Mohd Khairuddin sebelum ini tersingkir ketika pemilihan AJK Pas bagi sesi 2021-2023 yang dijalankan ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-67 pada 7 November lalu.

Beliau bagaimanapun dilantik semula sebagai AJK Pas pada 23 November lalu.