Modus operandi baharu seludup dadah guna jalan laut

Rohaimi (dua dari kanan) menunjukkan dadah seberat 18.7 kg yabg dirampas di tepi pantai Rhu Kubur, dekat Jambu Bongkok, Marang pada Ahad lalu
Rohaimi (dua dari kanan) menunjukkan dadah seberat 18.7 kg yabg dirampas di tepi pantai Rhu Kubur, dekat Jambu Bongkok, Marang pada Ahad lalu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengesan taktik baharu digunakan bagi menyeludup dadah menggunakan jalan laut ke dalam negara susulan rampasan 18.7 kilogram (kg) dadah yang dihanyutkan menggunakan pelampung ke kawasan pesisiran pantai di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dadah jenis syabu bernilai RM674,244 itu ditemukan terdampar di tepi Pantai Rhu Kubur, dekat Jambu Bongkok, Marang.

Katanya, dadah itu dikesan hasil aduan orang awam yang terserempak dengan tiga lelaki sedang mengangkat barang masuk ke dalam kereta dalam keadaan tergesa-gesa di kawasan berkenaan, kira-kira jam 8.30 malam pada Ahad lalu.

"Suspek segera melarikan diri apabila terserempak dengan pengadu. Sebaik mendekati kawasan itu, pengadu menjumpai satu guni berisi barang disyaki dadah sebelum segera menghubungi polis," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, pada Khamis.

Menurut Rohaimi, modus operandi baharu itu dipercayai dilakukan penyeludup melalui perairan pantai di Terengganu.

Rohaimi menunjukkan kawasan dadah itu ditemui ketika sidang media di IPK Terengganu, pada Khamis.
Rohaimi menunjukkan kawasan dadah itu ditemui ketika sidang media di IPK Terengganu, pada Khamis.

"Modus operandi baharu ini dilakukan dengan cara melepaskan guni yang mengandungi dadah melalui pantai selepas memaklumkan kepada sindiket di Malaysia untuk mengambil bungkusan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya ia dilakukan selepas cubaan menyeludup bekalan dadah melalui jalan darat gagal berikutan operasi besar-besaran dijalankan pihak Narkotik di seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan perairan negeri ini dijadikan transit untuk membawa masuk dadah dari sempadan untuk dipasarkan ke negara ini.

"Mengikut maklumat diterima dadah ini dipercayai mungkin sudah tiga hingga empat hari terapung kerana terdapat kesan teritip pada guni yang mengandungi dadah.

"Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.