Nilai bantuan mangsa banjir mungkin cecah RM2 bilion

Tengku Zafrul berucap pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Tengku Zafrul berucap pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa nilai keseluruhan bantuan dan kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir berjumlah RM1.4 bilion.

Menterinya, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagaimanapun berkata, nilai berkenaan mungkin akan mencecah RM2 bilion mengambil kira pelaksanaan pelbagai bantuan di samping keperluan pembaikan rumah dan fasiliti awam.

"Bagi memastikan segala bantuan ini diproses dan sampai ke tangan mangsa secepat mungkin, Kementerian Kewangan amat responsif dalam menyalurkan peruntukan seawal 28 Disember 2021.

"Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan yang setakat ini berjumlah RM300 juta untuk bencana banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Banjir Negara (KWABBN)," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat pada Khamis.

Tengku Zafrul menambah, sebelum ini bantuan banjir yang diberikan lazimnya tertumpu kepada pemberian Bantuan Tunai Wang Ihsan (BWI) di samping kerja-kerja pembersihan dan pembaikan rumah serta infrastruktur awam.

"Pada kali ini, selain menambah baik kadar dan skop BWI bagi Monsur Timur Laut 2021/2022, kerajaan turut membantu mangsa banjir antaranya melalui pemberian baucar diskaun pembelian barangan elektrik, diskaun membaiki kenderaan, bantuan pembelian barangan keperluan asas serta bantuan pembaikan kecil rumah," katanya.

Beliau berkata, Bantuan Banjir Keluarga Malaysia juga terbahagi kepada tiga kategori merangkumi bantuan tunai, inisiatif komuniti serta kemudahan pinjaman.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, bencana banjir yang melanda negara pada Disember tahun lalu sedikit sebanyak telah menjejaskan aktiviti ekonomi khususnya kawasan yang terkesan.

"Dianggarkan bahawa bencana ini akan menyebabkan pengurangan nilai pengeluaran sektor ekonomi antara RM4 hingga RM8 bilion.
Artikel Berkaitan:


"Bagaimanapun, mengambil kira indikator utama yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan bagi keseluruhan tahun 2021, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kekal antara tiga hingga empat peratus," katanya.

Tegasnya, apa yang lebih utama ialah momentum pemulihan tersebut dijangka berterusan sepanjang tahun ini.

"Iaitu ekonomi kita dijangka akan terus berkembang antara 5.5 hingga 8.5 peratus sejajar dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)dan Bank Dunia yang masing-masing menyasarkan pertumbuhan enam dan 5.8 peratus untuk Malaysia.

"Pemacu utama pertumbuhan Malaysia termasuklah pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial susulan peralihan seluruh negara ke Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN)," ujarnya.

Menurutnya, kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan ketahanan negara dari ancaman bencana melalui sudut yang lebih holistik iaitu lebih kepada pencegahan dan bukan pemulihan.

"Tumpuan untuk mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian jangka panjang ke arah mengurangkan kesan serta kemusnahan ditanggung akibat banjir atau apa-apa bencana akan diberi keutamaan.

"Selain itu, kita juga harus akui bahawa antara punca lain yang menyebabkan bencana alam adalah kerana fenomena perubahan iklim dan pembangunan yang tidak lestari," katanya.

Disebabkan itu katanya, dalam Bajet 2022, Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM450 juta bagi memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti serta inisiatif-inisiatif yang berteraskan Matlamat Pembangunan Lestari, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Seperti geran padanan berjumlah RM1 bilion untuk perniagaan beralih ke arah amalan rendah karbon, penubuhan 'voluntary carbon market' oleh Bursa Malaysia, insentif cukai untuk kenderaan elektrik serta geran padanan kepada NGO berjumlah RM100 juta," katanya.