Nazri tidak hadir himpunan ICERD, yakin dengan PM

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz . - Foto Afiq Razali
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz . - Foto Afiq Razali
A
A
A
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan tidak akan menghadiri himpunan aman bagi meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini.

Katanya, beliau tidak akan menyertai himpunan yang membabitkan penyertaan ahli Umno dan Pas itu.

Jelas ahli Parlimen Padang Renggas berkenaan, konvensyen antarabangsa itu tidak akan diratifikasikan oleh kerajaan PH, jadi tiada isu untuk mana-mana pihak menganjurkan himpunan tersebut.

“Tiada lagi isu, saya tidak akan hadir (himpunan). Saya sangat fokus dengan apa yang saya mahukan daripada kerajaan. Saya tidak akan hadir, saya gembira.

“Kerajaan sudah menarik balik keputusan untuk meratifikasi (ICERD), iaitu telah dilakukan. Kamu tidak percaya Perdana Menteri, siapa yang boleh kamu percaya?” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nazri berkata, pelantikan ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus disifatkan sebagai keputusan yang tepat.

Kata beliau, Anwar merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan mempunyai pengalaman yang cukup lama sebagai ahli Parlimen membolehkannya untuk membuat reformasi seperti yang diinginkan.

“Beliau seorang reformis dan sekarang berada dalam kerajaan, jadi saya yakin beliau boleh lakukan terutama dalam aspek urus tadbir yang baik,” katanya.

Parlimen hari ini menubuhkan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus membabitkan 12 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Artikel Berkaitan:


Kaukus itu dipengerusikan oleh Anwar, manakala Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.