X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Notis kayu balak tidak dituntut ikut prosedur: JPNP

Notis awam berhubung kayu-kayu yang tidak dituntut yang dimuat naik oleh Napsiah pada Selasa.
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menjelaskan pemberian notis kayu balak yang tidak dituntut selepas dihanyutkan akibat banjir di Bentong 18 Disember lalu adalah sebahagian daripada prosedur pembersihan.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, notis itu dikeluarkan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong adalah mengikut prosedur pelupusan kayu-kayan yang dibenarkan mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984.

Katanya, arahan pembersihan bagi tujuan mengumpulkan kayu hanyut ini bagi menentukan nilai sebelum dilupuskan dan tidak dilakukan terhadap kepada kayu yang dibalak.

"Apa yang sedang pihak kita lakukan ini mengikut prosedur sebagaimana tatacara yang dibenarkan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Jadi, pembersihan di kawasan terlibat perlu bagi mengelakkan berlakunya kesan banjir kali kedua yang dijangka boleh menjejaskan lagi keadaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Pada Rabu, tular dua keping gambar notis tuntutan kayu balak tidak dituntut yang mempersoalkan mengapa wujudnya notis jika benar tiada pembalakan berlaku.

Pemilik akaun Napsiah Khamis Marahan merupakan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Napsiah Khamis memuat naik status dan gambar balak yang dihanyutkan banjir baharu-baru ini yang dipercayai berhampiran Sungai Perdak, Karak.

Mohd Hizamri menjelaskan notis awam yang dikeluarkan PHD Bentong adalah mengikut peruntukan undang-undang yang membenarkan pelupusan untuk kayu-kayan hanyut.

Tambahnya, Seksyen 76 Akta Perhutanan Negara 1984 berkaitan kayu tidak dituntut dan ia boleh digunakan pakai dalam situasi berlaku di Bentong walaupun tiada pembalakan di kawasan terbabit.

"Seksyen 76 adalah dirujuk kepada Seksyen 77, Akta 313 iaitu berkaitan notis awam yang perlu dikeluarkan setelah 14 hari.

"Sekiranya ada tuntutan, penuntut perlu mengemukakan bukti pemilikan kayu tersebut kepada jabatan," katanya.

Beliau memaklumkan, merujuk kepada Seksyen 78(a) Akta itu, pihak JPNP boleh menolak atau menerima tuntutan yang dibuat oleh pemilik kayu selepas membuat penilaian.

"Jika tiada tuntutan berkaitan dengan pemilikan kayu hanyut tersebut, maka pemilikan kayu tersebut terletak kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk tujuan pelupusan dengan merujuk Seksyen 79 Akta 313," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!