RM11.2 bilion wang tidak dituntut setakat 30 April

MOF memaklumkan bahawa jumlah Wang Tak Dituntut (WTD) dan diurus oleh Jabatan Akauntan Negara sehingga 30 April tahun ini mencapai RM11.2 bilion. - Gambar hiasan
MOF memaklumkan bahawa jumlah Wang Tak Dituntut (WTD) dan diurus oleh Jabatan Akauntan Negara sehingga 30 April tahun ini mencapai RM11.2 bilion. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa jumlah Wang Tak Dituntut (WTD) dan diurus oleh Jabatan Akauntan Negara sehingga 30 April tahun ini mencapai RM11.2 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, 70 peratus daripada jumlah tersebut adalah wang dalam akaun bank yang tidak aktif dalam tempoh tujuh tahun atau lebih.

“Definisi wang tak dituntut ini ada tiga. Pertama, wang yang tidak dibayar kepada empunya seperti gaji, bonus, dividen dalam tempoh setahun atau lebih.

“Yang kedua, wang dalam akaun perdagangan antara pembekal dan syarikat, yang mana ada lebihan dalam dua tahun atau lebih.

“Ketiga paling banyak sekali iaitu 70 peratus daripada 11.2 bilion ini ialah wang dalam akaun bank yang tidak aktif dalam tempoh tujuh tahun atau lebih,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta MOF menyatakan jumlah wang tidak dituntut yang tersimpan dan apakah cadangan untuk memanfaatkan wang tersebut yang terbiar lama untuk pembangunan negara.

Dalam pada itu, ujar Ahmad, kerajaan telah mengembalikan sebanyak RM3.3 bilion kepada rakyat yang menuntut sehingga 23 Mei lalu.

Mengulas bagaimana kerajaan memanfaatkan WTD tersebut, beliau menjelaskan, sejumlah RM10 bilion daripada WTD telah dimasukkan ke dalam simpanan tetap.

Sejak 10 tahun lalu, kerajaan memperoleh dividen RM250 juta setiap tahun dan wang berkenaan disalurkan ke dalam Wang Yang Disatukan bagi kegunaan pembangunan dan bantuan rakyat.

“Kumpulan Wang Disatukan ini ada tiga. Satu, Akaun Hasil Disatukan di situ kita masuk RM3 bilion pada WTD.

“Kedua Akaun Amanah Disatukan di situ ada RM7 bilion WTD. (Keseluruhan) RM10 bilion ini sebagaimana disebutkan tadi ia masuk dalam simpanan tetap. Ada RM1 bilion untuk pusingan pembayaran,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Ahmad, rakyat boleh membuat semakan dan menuntut wang yang tidak dituntut melalui laman sesawang rasmi Jabatan Akauntan Negara di www.JANM.my atau melalui portal E-GUMIS.

“Boleh tuntut dalam masa 14 ke 30 hari apabila dokumen lengkap diberikan, maka boleh dapat wang itu kembali.

“Siapa-siapa nak tuntut WTD, tak perlu sediakan ejen. Tak perlu ada sebarang pembayaran pun, terus sahaja ke portal berkaitan dan Jabatan Akauntan Negara akan proses,” jelasnya.