Tempahan casis bas King Long kini dibuka

MAJLIS pelancaran casis bas King Long XMQ6120AS yang diadakan baru-baru ini.
A
A

TC Trucks Sales Sdn Bhd, anak syarikat Tan Chong Motor Holdings Berhad mencapai satu lagi kejayaan dalam sejarah syarikat dengan melancarkan casis bas King Long XMQ6120AS baharu yang direka oleh Xiamen King Long United Automotive Industry Co Ltd (King Long) dari China.

Dua spesifikasi casis telah diperkenalkan iaitu XMQ6120AS-P premium dan XMQ6120AS-S standard.

Bas baharu ini disasarkan kepada pemilik syarikat pengangkutan serta pengendali pelancongan.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Presiden Tan Chong Motor Holdings Bhd, Datuk Tan Heng Chew dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Luar Negara, Xiamen King Long United Automotive Industry Co Ltd, Simon Xie Wei Guo.

King Long berperanan dalam aspek reka cipta, penyelidikan dan pembangunan, pengilangan, jualan serta servis bas-bas bersaiz sederhana dan besar, koc dan mini van.

Dengan tiga kemudahan pengilangan yang besar di China, King Long merupakan salah satu pengilang bas serta koc terbesar di dunia. Ia mampu menghasilkan lebih 20,000 unit bas dan koc, di samping 30,000 buah van mini setiap tahun.

Pelancaran casis bas ekspres antara bandar dan persiaran itu menjadi casis bas pertama diperkenalkan selepas pelantikan TC Trucks Sales Sdn Bhd pada Jun 2018 selaku pengedar tunggal, pemasang dan penyedia perkhidmatan selepas jualan untuk bas serta koc King Long di Malaysia.

Tempahan casis bas King Long XMQ6120AS baharu kini sudah bermula.

Sempena pelancarannya baru-baru ini, TC Trucks Sales menawarkan pakej promosi yang merangkumi rebat sebanyak RM8,000 ke atas casis bas dan tiga servis penyelenggaraan percuma untuk alat ganti serta kos buruh bagi 40 unit tempahan yang terawal, termasuk 19 unit yang telah dijual kepada empat pelanggan iaitu Five Stars Express Tour Travel Sdn Bhd, Mayflower Car Rental Sdn Bhd, Pioneer Coachbuilders Sdn Bhd dan Siang Malam Travel & Express Sdn Bhd.

Sebagai tambah nilai, para pelanggan yang membeli casis bas baharu akan menikmati jaminan selama 2 tahun atau jarak sejauh 200,000km, mana-mana capai dahulu. Untuk maklumat lanjut mengenai TC Trucks Sales dan King Long, sila hubungi 03-6189 1896.