X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

PRU15: Warisan boleh jadi 'king maker'

Ahmad (tengah) dalam sidang akhbar Warisan Bahagian Papar di Pusat Komersial Benoni, Papar.
A
A

PAPAR - Usaha Parti Warisan Sabah (Warisan) mengembangkan sayap ke Semenanjung membolehkan parti itu menjadi 'king maker' atau penentu bagi penubuhan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, banyak manfaat akan diperoleh melalui usaha Warisan mengembangkan sayap ke Semenanjung.

"Saya merayu jangan sensasikan bahawa pengembangan parti ke Semenanjung tidak akan mendatangkan manfaat, sebetulnya banyak manfaat akan kita dapat.

"Kalau di sini kita dapat 20 atau 15 kerusi (Parlimen) dan di sana 10 kerusi, dengan mudah kita ada 25 kerusi. Ini menunjukkan sama ada kita 'king maker' atau sebaliknya. Sebab itu kenapa Datuk Seri (Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) bersungguh-sungguh mengembangkan kerusi ke sana," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Warisan Bahagian Papar di Pusat Komersial Benoni, di sini, pada Selasa.

Tambah beliau lagi, walaupun Sabah hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen tetapi dengan jumlah itu tidak mustahil untuk Warisan beroleh kemenangan besar dalam PRU nanti.

"Kita hanya ada 25 kerusi, dengan adanya 25 kerusi ini tidak mustahil untuk kita menang kesemuanya.

"Jadi untuk memperkuatkannya, untuk kita bercakap dan ajukan pelbagai masalah di negeri kita supaya didengari Kuala Lumpur (Persekutuan) adalah dengan cara mengembangkan sayap kita ke Kuala Lumpur.

"Kalau orang Kuala Lumpur (parti dari Semenanjung) boleh datang ke sini untuk bahagi-bahagi 25 kerusi ini bersama-sama kita, apa salahnya kita juga ikut ke Kuala Lumpur untuk dapatkan kita punya bahagian untuk mendapat kerusi kita di sana," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Bahagian Warisan Papar menegaskan pihaknya sentiasa menyantuni masyarakat dan pengundi setempat namun dalam masa yang sama menyerahkan keputusan kepada rakyat untuk menilai gerak kerja mereka dan seterusnya memilih parti itu.

"Saya rasa, apa yang saya lakukan selama ini sehingga menjadi Ahli Parlimen, saya tidak pernah berhenti menyantuni mereka.

"Itu terpulang kepada mereka, yang penting kita menjalankan tugas kita. Terpulang kepada mereka untuk melihat sama ada wakil rakyat ini betul-betul bekerja untuk mereka atau sebaliknya," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!