Bot karam bawa PATI dipercayai dari Batam Indonesia

Mohamad Shofee
Mohamad Shofee
A
A
A

PONTIAN - Bot fiber yang karam di perairan Pulau Pisang di Pontian yang menyebabkan tujuh pendatang asing tanpa izin ( PATI) dikhuatiri lemas dan seorang kritikal dipercayai dari Batam Indonesia.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, bot membawa PATI itu dipercayai transit di daerah tersebut sebelum mereka menaiki kenderaan darat untuk ke Kuala Lumpur.

Katanya, bot laju biasanya mengambil masa lebih kurang satu jam setengah dari Batam untuk tiba di perairan Johor Barat iaitu di Pontian.

"Hasil soal siasat ke atas tekong bot terdiri daripada dua lelaki PATI, mereka hanya menggunakan bot fiber memandangkan jumlah mereka tidak ramai. Terdapat 11 PATI terdiri daripada wanita dan dua tekong lelaki yang menaiki bot terbabit berusia dari 25 hingga 35 tahun.

"Bot fiber dinaiki mereka dipukul ombak besar akibat cuaca buruk pada kira-kira 11 malam pada Isnin. Enam daripada mereka diselamatkan nelayan manakala tujuh masih hilang. Selain itu seorang PATI yang diselamatkan itu dalam keadaan kritikal dan kini menerima rawatan di Hospital Pontian," katanya.

Mohamad Shofee berkata, kemasukan PSTI melalui Pontian masih terkawal dan tidak begitu teruk seperti dilaporkan berlaku di perairan Johor Timur terutama di Kota Tinggi.

"Bagi daerah Pontian, kehadiran PATI yang menyeludup masuk masih terkawal dan tidak begitu ramai.

"Faktor kedudukan perairan Pontian dengan Kepulauan Riau Indonesia terutama di Karimon terlalu hampir menjadi antara daya tarikan PATI cuba masuk melalui daerah ini," katanya.

Artikel Berkaitan: