Tamim Dahri, dua lagi ditahan kes pecah empat patung kuil

KUALA LUMPUR - Tiga individu termasuk aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pecah empat patung di sebuah kuil di Jalan Klang Lama di sini pada 6 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek ditahan di Beranang Selangor, pada jam 11 pagi, 11 Oktober lalu.
"Polis menerima dua laporan berhubung kejadian itu, manakala ketiga-tiga individu terbabit direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
“Empat patung dilaporkan dipecahkan dalam kejadian itu, namun jumlah kerugian belum dinyatakan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Bagaimananapun, ketiga-tiga individu itu difahamkan telah dibebaskan dengan jamin polis pada Selasa.
Fadil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
"Kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan lanjut," katanya.
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan menggesa polis menjalankan siasatan segera dan menyeluruh bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu dibawa ke muka pengadilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
