Demonstrasi Azam Baki: Pemuda Amanah tawar khidmat peguam

Ahmad Fadhli (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di Wisma Amanah Negara di sini pada Selasa.
Ahmad Fadhli (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di Wisma Amanah Negara di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menawarkan khidmat peguam secara pro-bono kepada peserta Demonstrasi Aman #TangkapAzamBaki dan Rombak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ditahan pihak berkuasa dalam himpunan aman yang akan dianjurkan di ibu negara di sini pada Sabtu.

Peguamnya, Ahmad Fadhli Umar Amirolhuda berkata, tawaran khidmat guaman itu bukan sahaja kepada anak-anak muda dan penganjur, sebaliknya mana-mana pihak yang dikenakan tindakan intimidasi kerana menyebarkan poster berkenaan himpunan juga akan dibantu.

"Pemuda Amanah dan Peguam Muda Amanah menyokong penuh Demonstrasi Aman #TangkapAzamBaki dan Rombak SPRM yang akan diadakan hari Sabtu ini, 22 Januari di Sogo oleh kumpulan anak muda.

"Kami bukan sahaja menyatakan komitmen untuk memobilisasi seramai mungkin pemuda Amanah ke himpunan berkenaan tetapi kami juga akan menyediakan antara 10 hingga 20 orang peguam.

"Peguam-peguam ini akan menjadi pemerhati untuk memastikan tiada sebarang tindakan yang melanggar undang-undang serta demonstrasi aman ini dapat dijalankan dengan teratur, aman dan mengikut prosedur operasi (SOP) ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar menuju Demonstrasi Aman #TangkapAzamBaki dan Rombak SPRM di Wisma Amanah Negara di sini pada Selasa.

Tambahnya, Pemuda Amanah juga mengambil maklum mengenai tindakan intimidasi yang telah dimulakan terhadap kumpulan penganjur himpunan berkenaan.

"Kami mendesak supaya tindakan intimidasi seperti ini dihentikan dan membenarkan himpunan secara aman ini dibuat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Amanah, Ahmad Zubair Wan Abdul Rahim berkata, kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk 'merehatkan' Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

Katanya, ia bagi membolehkan siasatan berjalan dengan lancar mengikut lunas undang-undang sedia ada.

"Kita mahu Tan Sri Azam diadili dengan sebaiknya dan juga membuktikan bahawa tiada pihak yang terlepas daripada undang-undang, walaupun beliau Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya.