Saingan MHL 2022 bermula 18 Februari

Anil Jeet Singh
Anil Jeet Singh
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) melalui jawatankuasa pertandingan menetapkan tarikh penganjuran kejuaraan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 akan bermula pada 18 Februari hingga Jun 2022.

Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh, tarikh bagi berakhirnya liga tersebut masih belum diputuskan kerana Jawatankuasa Pertandingan KHM akan mengambil kira jumlah pasukan yang mengesahkan penyertaan sebelum menetapkan tarikh berakhirnya kejohanan tersebut.

Anil turut menyatakan sekiranya KHM menerima jumlah penyertaan pasukan yang tinggi, jawatankuasanya akan mempertimbangkan untuk mewujudkan kembali saingan Divisyen 1.

“Selepas berakhirnya Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan pada minggu lalu, kami telah menetapkan kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 akan diadakan pada 18 Februari 2022.

“Penganjuran kejohanan pada tahun ini juga akan kembali kepada format liga iaitu perlawanan akan dijalankan secara timbal balik dan tidak akan dijalankan mengikut formal Karnival seperti tahun lalu.

“Perlawanan Sumbangsih akan berlangsung pada hari pembukaan iaitu 18 Februari di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan Juara TNB MHL 2021 iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akan bertemu Juara Piala TNB 2021, Kelab Hoki Terengganu (THT).

“Semua perlawanan timbal balik akan berlangsung di Semenanjung Malaysia dan Jawatankuasa Kerja TNB MHL 2022 akan melakukan pemeriksaan padang-padang hoki yang boleh dijadikan sebagai venue perlawanan," katanya pada Isnin.

Dalam pada itu, Anil berkata, bagi menghormati bulan Ramadan, liga akan berehat pada satu bulan tersebut dan akan disambung kembali selepas itu.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan yang mengambil bahagian dibenarkan untuk mendaftarkan pemain kebangsaan dan pemain import. Namun dalam satu-satu perlawanan, hanya enam pemain campuran import dan pemain kebangsaan dibenarkan untuk berada di dalam padang.

“Pasukan yang ingin mendaftarkan pemain import perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk mendapatkan kebenaran dan pelepasan bagi pemain tersebut ke Malaysia untuk menyertai saingan liga,” jelas Anil lagi.

Kejuaraan TNB MHL 2021 telah dilangsungkan secara berpusat dan menggunakan format karnival gelembung sukan ekoran penularan pandemik Covid-19 dengan lapan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita mengambil bahagian.