Budak hilang lima hari dalam hutan belum ditemui

Anggota bomba menyelusuri kawasan Hutan Temengor untuk mencari mangsa kanak-kanak orang asli yang hilang sejak Khamis lalu. Foto: ihsan Bomba, gambar kecil: Kamaliah Anab. Foto: ihsan pembaca
Anggota bomba menyelusuri kawasan Hutan Temengor untuk mencari mangsa kanak-kanak orang asli yang hilang sejak Khamis lalu. Foto: ihsan Bomba, gambar kecil: Kamaliah Anab. Foto: ihsan pembaca
A
A
A

GERIK - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih gagal menemukan kanak-kanak perempuan orang asli yang dilaporkan hilang dalam hutan sejak Khamis lalu di Kampung Selaur berhampiran Kampung Padang Jeri di sini.

Mangsa, Kamaliah Anab, 10, yang memakai baju kuning dan seluar biru kali terakhir dilihat mengikuti keluarganya mencari hasil rotan di Hutan Temengor di sini lima hari lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizan Aziz berkata, pencarian yang memasuki hari keempat itu gagal menemukan sebarang petunjuk positif.

Menurutnya, gerakan mencari diperluaskan sehingga 10 kilometer di kawasan bukit setinggi 800 meter dari paras laut itu.

"Sehingga kini pasukan gagal menemukan sebarang petunjuk yang boleh dikaitkan dengan mangsa. Anggota menghadapi kesukaran apabila lokasi kejadian mempunyai cerun yang tinggi.

"Lokasi terakhir mangsa terletak kira-kira 1.5 kilometer menyebabkan pasukan perlu bermalam di kawasan yang tidak mempunyai liputan telekomunikasi itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Azizan berkata, khidmat Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Multi Skill Team (MUST) dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut membantu dalam operasi itu.

"Seramai 37 anggota melibatkan pelbagai agensi antaranya polis, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Pasukan Gerakan Am (PGA), Sapura Komunikasi dan penduduk kampung," katanya.

Artikel Berkaitan: