Banjir: Kerugian cecah hingga RM6.5 bilion

Datuk Seri Mustapa Mohamed
Datuk Seri Mustapa Mohamed
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Kerugian keseluruhan akibat banjir besar melanda beberapa negeri Disember lalu dianggarkan mencecah antara RM5.3 hingga RM6.5 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, daripada jumlah itu, aset awam dan infrastruktur mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM2 bilion.

Menurutnya, ia diikuti tempat kediaman RM1.2 hingga RM1.4 bilion, kenderaan RM1.3 bilion, pembuatan RM800 juta hingga RM1 bilion, premis perniagaan RM600 juta dan pertanian RM49.9 juta.

"Bagi merasai dugaan yang dihadapi ini, kerajaan melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengambil inisiatif menyediakan kajian menyeluruh impak banjir yang berlaku di negeri-negeri yang terkesan banjir.

"Sehingga ini, dapatan kajian menunjukkan 50 daerah terlibat dengan anggaran kerugian keseluruhan adalah di antara RM5.3 bilion dan RM6.5 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melancarkan Pelaksanaan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/ BA) 2022 di Dewan Serbaguna, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mengulas lanjut Mustapa berkata, kerja-kerja pembaikan untuk infrastruktur awam telah dimulakan.

Artikel Berkaitan:

Bagi rumah rosak atau 'total lost' pula katanya, proses untuk bina semula telah dikemukakan.

"Maka dari segi bantuan kita cuba sesuaikan dengan jumlah kehilangan (yang dialami)," katanya.