Lemas ketika cuba ambil selipar

Seorang kanak-kanak dan remaja ditemukan lemas di Sungai Masai berdekatan Taman Masai Utama. Gambar hiasan 123rf
Seorang kanak-kanak dan remaja ditemukan lemas di Sungai Masai berdekatan Taman Masai Utama. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

JOHOR BAHRU- Keseronokan enam kanak-kanak dan remaja lelaki bermain di sekitar sungai, bertukar tragedi apabila dua daripadanya ditemukan lemas di Sungai Masai berdekatan Taman Masai Utama, di sini hari ini.

Penolong Kanan Penguasa Bomba ZON 1 Johor Hamdan Ismail berkata mangsa Sharif Mohd Sharizan Sabri, 11, ditemukan pada 9.18 malam ini manakala Mohd Ahlan Kiram, 14, ditemukan pada 10.32 malam.

Beliau berkata 21 pegawai dan anggota bomba termasuk sembilan daripada Unit Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pertahanan Awam (APM) digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 6.15 petang.

"Mangsa pertama (Sharif) ditemukan tidak jauh dengan mangsa kedua (Mohd Ahlan) iaitu kira-kira dua meter dengan kedalaman air lima meter,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Beliau berkata mengikut maklumat awal, Sharif terjatuh dipercayai ketika cuba mengambil seliparnya yang terjatuh dalam sungai.

"Mohd Ahlan pula dipercayai cuba membantu Sharif yang dilihat mula lemas ketika cuba mengambil selipar, namun percubaannya gagal menyebabkan kedua-duanya lemas,” katanya.

Hamdan berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa oleh pihak polis ke Hospital Sultan Ismail untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, seorang daripada rakan mangsa Mohd Azmil Jamaludin,13, ketika ditemui berkata dia juga hampir lemas namun berjaya ditarik rakannya yang lain.

Katanya, dia dan rakan-rakan lain bergegas meminta bantuan orang awam selepas kedua-dua mangsa hilang daripada penglihatan.

Artikel Berkaitan:

"Kawan saya tarik kaki dan saya selamat, sebenarnya baru hari ini kami bermain bersama di sungai ini kerana duduk di flat yang sama.

"Tidak sangka ia akan berakhir macam ini,” katanya yang tinggal di Flat Taman Masai Utama.- Bernama