Positif dadah: ADUN Pasir Bedamar keluar kenyataan pertahan diri

Terence Naidu
Terence Naidu
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Terrence Naidu pada Sabtu mengeluarkan kenyataan bagi mempertahan dirinya berhubung penahanan beliau di Pulau Pinang selepas didapati positif dadah.

Terrence mendakwa minumannya telah dicampur dengan dadah dan ditambah semasa beliau ke tandas di ruang karaoke.

"Saya dihidangkan minuman yang aneh dan saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit. Saya kemudiannya dimaklumkan keesokan harinya bahawa ketika saya ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

ADUN DAP selama dua penggal bagi kerusi Pasir Bedamar di Teluk Intan itu telah ditahan dalam operasi polis di sebuah kelab malam di Prai pada Khamis.

Sebaik sahaja dibebaskan semalam, Naidu telah membuat laporan polis untuk mempertahan dakwaan bahawa beliau tidak bersalah.

"Saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah. Pun begitu, ramai yang telah membuat keputusan bahawa saya semestinya bersalah,” katanya.

Dalam kenyataan itu, beliau juga mendakwa ke lokasi itu selepas diundang bertemu kawan yang juga pelanggan untuk majlis perjumpaan dan makan malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Terrence terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencingnya adalah positif kerana beliau tidak pernah merokok.

"Sebagai ADUN yang bertanggungjawab dan dilantik di bawah bendera parti, saya juga bersedia untuk melindunginya daripada sebarang masalah dan bersedia untuk digantung keahlian supaya pihak lain tidak terheret sama dalam kes ini.

Artikel Berkaitan:

"Buat para penyokong yang mengenali saya secara peribadi terutama penduduk Pasir Bedamar, saya dengan rendah hati memohon maaf kerana meletakkan diri dalam posisi yang berbahaya,” katanya.

Susulan penahanan itu, kepimpinan DAP Perak telah mengarahkan beliau supaya mengemukakan laporan bertulis berkaitan insiden tersebut bagi membolehkan kepimpinan parti di peringkat negeri dan nasional dimaklumkan mengenai situasi sebenar.

-- BERNAMA