Prihatin wujud pusat jagaan anak mangsa banjir

Aizuddin (tengah) mengagihkan bantuan pasca banjir berupa tilam dan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di Dewan Masyarakat Bukit Lanchong, Seksyen 28, pada Sabtu.
Aizuddin (tengah) mengagihkan bantuan pasca banjir berupa tilam dan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di Dewan Masyarakat Bukit Lanchong, Seksyen 28, pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) melaksanakan program Sentuhan Kasih Prihatin yang menawarkan perkhidmatan jagaan anak-anak kepada mangsa banjir dan khidmat kaunseling secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Aizuddin Ghazali berkata, ia dilaksanakan di sebuah Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berhampiran Dewan Masyarakat Kampung Bukit Lanchong, Seksyen 28 di sini melibatkan seramai 60 sukarelawan untuk menjaga anak-anak tersebut.

Menurutnya, tabika tersebut mampu menempatkan sekitar 60 kanak-kanak mangsa banjir dan ia membantu ringankan beban ibu bapa yang ingin membersihkan rumah terjejas banjir serta mengurangkan tekanan mereka.

Aizuddin
Aizuddin

"Kami telah laksanakan program ini sejak awal Januari lalu yang mana ia memberi peluang kepada keluarga untuk bersihkan rumah. Jadi, mereka tidak perlu berfikir banyak dan tertekan, sebaliknya mereka boleh meletakkan anak mereka di sini bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

"Makanan dan minuman disediakan secara percuma kepada anak-anak mereka. Jika mereka masih memerlukan (khidmat jagaan dan kaunseling), kami akan teruskan kerana bekerjasama dengan banyak pihak seperti pakar psikiatri, kaunselor yang memberikan bantuan secara percuma kepada mereka." katanya dalam sidang media Program Khas Pasca Banjir Prihatin dan DXN Holdings Berhad (DXN) di Dewan Masyarakat Bukit Lanchong, Seksyen 28 di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Aizuddin memaklumkan seramai 500 mangsa banjir di Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat dan Kampung Bukit Lanchong, Seksyen 28 di sini menerima sumbangan pasca banjir pada Sabtu.

Katanya, mangsa-mangsa di Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat menerima 100 set mesin basuh dan kipas berdiri, manakala sekitar 400 orang mangsa banjir di Kampung Bukit Lanchong, Seksyen 28, di sini pula menerima tilam dan barangan keperluan asas.

Artikel Berkaitan:

Aizuddin (kiri) menyerahkan bantuan pasca banjir berupa mesin basuh dan kipas berdiri di Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat pada Sabtu.
Aizuddin (kiri) menyerahkan bantuan pasca banjir berupa mesin basuh dan kipas berdiri di Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat pada Sabtu.

"Seminggu sebelum turun ke kawasan terjejas banjir, kami akan buat bancian untuk bertemu wakil penduduk, penghulu dan tinjauan rumah ke rumah untuk sampaikan bantuan.

"Bekerjasama dengan syarikat korporat menggunakan geran padanan, yang mana jika syarikat tersebut mengeluarkan RM1, maka kami akan mengeluarkan nilai sama. Dengan strategi ini, pihak kami dan syarikat tersebut dapat menyumbang," katanya.