X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Lapangan Terbang Pangkor sedia beroperasi

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

LUMUT - Lapangan Terbang Pangkor bersedia menerima kehadiran penumpang yang bercuti ke pulau itu menerusi penerbangan pertama yang dijangka tiba pada penghujung Januari ini.

Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, persiapan telah dibuat dalam memastikan operasi lapangan terbang di pulau bebas cukai itu berada pada tahap baik.

"Kita telah melihat beberapa aspek untuk menambah baik sedikit tempat itu (lapangan terbang) mungkin pagar dan perkara-perkara kecil lain.

"Dari segi persiapan keseluruhannya, kita telah pun bersiap sedia dan tiada masalah untuk menggunakan lapangan terbang di pulau ini," katanya ketika ditemui ketika hadir pada program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid di Pulau Pangkor di sini pada Sabtu.

Menurutnya, penerbangan secara terus dari Subang ke Pangkor itu bagaimanapun bergantung kepada kesediaan syarikat terbabit untuk memulakan penerbangan mereka.

Zambry (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Mior Faridalathrash (dua dari kanan) pada program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor pada Sabtu.
Zambry (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Mior Faridalathrash (dua dari kanan) pada program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor pada Sabtu.

"Ia adalah merupakan inisiatif daripada pihak syarikat berkenaan. Berhubung tarikh dan kesesuaian penerbangan, ia sepertimana yang diumumkan mereka sebelum ini.

"Kemungkinan dari segi kalau ada kelewatannya mungkin ada sebab-sebab teknikal di pihak mereka," katanya.

Lapangan terbang di Pulau Pangkor yang mempunyai landasan sepanjang 732 meter itu mula dibuka pada 1993 tetapi berhenti beroperasi pada Februari 2014.

Disember lalu media melaporkan, Lapangan Terbang Pangkor dijangka beroperasi semula bulan depan dengan penerbangan pertama pada 22 Januari dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang, Selangor.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!