Jangan tular isu lantikan duta, demi hubungan diplomatik Malaysia

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kementerian Luar menasihatkan orang ramai supaya tidak tular isu pelantikan duta Malaysia demi menjaga nama dan hubungan diplomatik negara.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Wisma Putra tidak pernah mengemukakan sebarang senarai nama setakat ini, sebaliknya lantikan duta hanya diumumkan selepas semua prosesnya selesai.

"Jadi, apa sahaja berita tular dalam seminggu dua mengenai mana-mana nama yang didakwa dilantik sebagai duta dan sebagainya, anggap itu hanya berita tular di media sosial.

"Tidak perlu dipanjangkan kerana ia tidak akan membantu dari segi hubungan baik Malaysia dengan mana-mana negara sekalipun," katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya majlis perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Reflisia Timur Berhad di dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Cenderawasih Timur di sini pada Sabtu.

Beberapa hari lalu tular satu berita mengenai pelantikan duta Malaysia ke beberapa buah negara membabitkan ahli politik selepas mencadangkan nama mereka sebagai duta di negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pelantikan duta Malaysia ke negara luar dibuat dalam proses yang menyeluruh dan teliti berdasarkan prinsip diplomasi.

Jelasnya, Malaysia perlu memaklumkan kepada negara berkenaan mengenai individu yang dilantik sebagai duta, seterusnya mendapatkan persetujuan dari negara terbabit.

"Proses lantikan bukan mudah, setiap calon duta yang dipilih akan melalui pelbagai tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa agensi kerajaan lain termasuk mengemukakan nama calon ke kabinet.

Artikel Berkaitan:

"Ada proses perlu dilalui dan ia bukan sahaja membabitkan saringan di peringkat kita, tetapi turut membabitkan proses penilaian oleh negara tuan rumah atau 'host' kepada ketua perwakilan Malaysia itu.

"Proses tapisan ini turut membabitkan tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi keselamatan lain, jadi bukan mudah nak pilih dan lantik duta, banyak prosedur perlu dilalui," katanya.

Ditanya mengenai pelantikan calon duta, Saifuddin berkata, pemilihan calon calon perwakilan Malaysia ke luar negara ini dibuat melalui dua kaedah iaitu dengan melantik pegawai dari bahagian pentadbiran diplomatik atau satu lagi (kaedah) ialah ahli Parlimen yang masih berkhidmat atau bekas pegawai kanan kerajaan yang layak.

"Sebelum ini kita ada bekas Ketua Polis Negara yang dilantik sebagai ketua perwakilan negara dan amalan melantik ahli Parlimen juga pernah dilakukan kerajaan sebelum ini," katanya.

Untuk rujukan, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 2017 dilantik sebagai Duta Khas bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha untuk memerangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdagangan manusia.

Selain Khalid, seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar juga pernah dipilih sebagai Duta Malaysia ke Perancis antara tahun 2013 hingga 2015.