ADUN Perak positif dadah: Polis serah kertas siasatan minggu depan

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang ditahan selepas positif dadah di sebuah kelab malam di Perai di sini, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kertas siasatan kes berkenaan dijangka akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk tindakan selanjutnya pada minggu hadapan.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan pihaknya masih menunggu laporan Patologi untuk tindakan selanjutnya.

"Kes masih dalam siasatan dan menunggu laporan patalogi.

"Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan dilengkapkan dan laporan patalogi diperolehi," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Mustafa Kamal berkata, ADUN berusia 54 tahun itu yang direman sehari sudah dibebaskan pada Jumaat.

Katanya, dua anggota polis masing-masing dari kontinjen Pulau Pinang dan Perak yang turut ditahan bersama dengannya pada hari serbuan turut dibebaskan.

Beliau berkata, kesemua 36 tangkapan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan seorang ADUN dari Perak ditahan bersama 35 individu lain selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.

Kesemua mereka ditahan di sebuah restoran yang dahulunya merupakan kelab malam di Perai di sini.

Daripada 36 yang ditahan itu, 28 lelaki (termasuk ADUN) dan lapan lagi wanita.

Mustafa Kamal sebelum ini berkata, tangkapan dijalankan di sebuah kelab malam yang kini menggunakan lesen restoran untuk beroperasi.

Bagaimanapun jelasnya, keadaan premis dan perhiasannya masih seperti kelab malam.

Katanya lagi, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman itu turut menahan 12 wanita warga Vietnam.