X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Buat laporan polis palsu sebab habiskan gaji pekerja untuk judi

Foto 123rf
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Seorang pengurus syarikat pembinaan sanggup membuat laporan polis palsu kehilangan wang gaji pekerja berjumlah RM39,800 selepas duit berkenaan habis digunakan untuk berjudi.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima laporan polis yang dibuat lelaki berusia 32 tahun itu pada jam 9.33 malam Jumaat.

"Dia mendakwa pada hari sama jam 2.30 petang telah mengeluarkan wang RM45,000 dari sebuah bank di Cyberjaya bagi tujuan membayar gaji pekerja dan menyimpan wang tersebut di dalam beg sandang lalu diletakkan di bawah kerusi tempat duduk pemandu.

"Seterusnya, dia pulang ke Port Dickson sebelum singgah ke rumah bapa saudaranya di Lukut dengan menyerahkan wang sebanyak RM4,700, kemudian ke kedai makan di Taman Sentosa sebelum menyimpan wang baki di dalam kereta," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, lelaki itu mendakwa duit dan beg sandang berkenaan hilang sebaik dia kembali semula ke kenderaan namun tiada kesan pecah cermin pada kenderaannya.

"Hasil soal siasat polis mendapati, lelaki itu sengaja mengada-adakan cerita tentang kehilangan wang berjumlah RM39,800 dengan tujuan dapat melewatkan pembayaran gaji pekerja kerana wang itu telah habis digunakan untuk bermain judi di sebuah tempat perjudian berlesen.

"Manakala bakinya telah digunakan untuk membeli barangan dapur lebih kurang RM500 namun dia hanya membuat laporan polis bahawa hanya RM39,800 yang hilang. Kes ini di siasat kerana memberi keterangan palsu," ujarnya.

Polis memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab ini dan orang awam diingatkan supaya tidak membuat laporan polis palsu bagi mengelakkan diambil tindakan undang-undang.

Aidi Sham berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!