MyAqsa Defenders lancar lagu ‘Kita Adalah Satu’

Majlis Pelancaran Muzik Video ‘Kita Adalah Satu’ secara dalam talian pada Jumaat.
Majlis Pelancaran Muzik Video ‘Kita Adalah Satu’ secara dalam talian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM- MyAqsa Defenders telah melancarkan single dan muzik video yang berjudul ‘Kita Adalah Satu’ bagi meningkatkan kesedaran umum tentang isu penjajahan yang berlaku di Palestin sejak sekian lama.

Pengerusi MyAqsa Defenders, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, lagu itu adalah salah satu usaha ke arah kebebasan al-Aqsa di bumi Palestin.

“Mereka sangat mementingkan seni sebenarnya untuk membawa mesej yang betul kepada kebebasan Palestin.

“Di Palestin, kanak-kanak seawal 5 tahun sudah diajar bersyair, menyanyi dan 60 peratus daripada mereka ada bakat. Itu menjadikan seni sebagai satu senjata yang sangat penting untuk perjuangan di bumi Palestin.

“Kita harapkan dengan lagu-lagu seperti ini, akan dapat menaikkan semangat orang Malaysia sendiri untuk membangunkan negara bersama-sama,” katanya pada Majlis Pelancaran Muzik Video ‘Kita Adalah Satu’ secara dalam talian pada Jumaat.

Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman
Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman

Hadir sama, Inteam, Aniq Muhai, Ikhwan Fatanna, Dr Fitri Haris, dan antara wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pencetus Ummah Izzat.

Dalam pada itu, Pengarah Projek, Nur Afifah Muhab Shah berkata, lagu tersebut menggabungkan tujuh artis tempatan iaitu Inteam, Syamel, Ikhwan Fatanna, The Helmis, Dr Fitri Haris, Adeep Nahar dan Aniq Muhai.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, lagu tersebut merupakan hasil karya komposer muda yang sedang meningkat naik iaitu Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh manakala liriknya ditulis sendiri oleh Ikhwan Fatanna.

“Idea menghasilkan single 'Kita Adalah Satu' ini tercetus apabila melihat ramai pihak yang memberikan sokongan terhadap kempen MyAqsa Defenders termasuk golongan artis daripada kalangan penyanyi, pelakon dan selebriti yang turut memuat naik dan berkongsi hantaran-hantaran media sosial yang menyentuh tentang kesedaran terhadap isu yang berlarutan di Palestin.

“Artis-artis yang turut serta dalam rakaman lagu ini juga adalah terdiri daripada kalangan ikon-ikon yang turut memberi sokongan terhadap usaha yang dibawakan MyAqsa Defenders bagi membentuk kesedaran khususnya dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.

Penerbitan single tersebut telah dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Inteam Records Sdn Bhd dan proses rakaman serta suntingan telah diadakan di Novarts Studio yang memakan masa seminggu untuk disiapkan.

Dalam pada itu, Ikhwan berkata, lirik 'Kita Adalah Satu' menggambarkan kesatupaduan dan kerjasama serta sokongan semua pihak, khususnya rakyat Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin.

“Lagu ini mahu menggabungkan satu semangat di antara semua daripada kita secara umum, tidak kisah latar belakangnya tetapi dalam satu misi yang sama.

“Ia adalah untuk memberi bantuan dan juga senyuman kepada sahabat-sahabat dan saudara kita yang berada di Gaza serta semangat itu yang kita bawakan.

“Konsep ini juga untuk memancing anak muda dan menjentik hati sesiapa yang mendengar dan mereka lebih tertarik kepada muzik. Dengan lagu ini yang tidak terlalu berat pada saya, ia mampu memberikan satu mesej yang jelas untuk turut serta dalam kerja-kerja NGO,” ujarnya.

Ikhwan Fatanna
Ikhwan Fatanna

Sementara itu, Mohd Syahril Abdul Khalid (Syah Inteam) berkata, setiap artis yang terlibat memberi komitmen yang baik sehingga memudahkan urusan mereka untuk menyiapkan lagu tersebut dalam waktu yang singkat.

“Alhamdulillah, segala penat lelah hilang disebabkan hasil yang dikeluarkan dan pihak MyAqsa Defenders bersetuju dengan lagu itu dan masyarakat boleh dapat sesuatu daripada lagu tersebut,” jelasnya.

Tambah Aniq Muhai, dia memilih untuk turut serta menyanyikan lagu tersebut disebabkan keinginannya untuk pergi ke Palestin namun tidak berpeluang.

“Sebenarnya peluang ini bukan senang untuk kita dapat dan ini satu pengorbanan kecil yang saya boleh berikan kalau saya tidak dapat ke sana.

“Jadi suara saya boleh menaikkan semangat kepada rakan-rakan bila kita sebut tentang perjuangan untuk Palestin.

Aniq Muhai
Aniq Muhai

“Satu penghormatan buat saya bersama-sama rakan artis yang hebat dan mengharapkan lagu ini boleh pergi lebih jauh dan memberi satu suara (rakyat Malaysia) bersama membantu al-Aqsa,” katanya.

Lagu 'Kita Adalah Satu' kini boleh didengar di seluruh platform digital seperti Spotify, Deezer, KKbox, Joox, Apple Music, Itunes dan lain-lain serta muzik videonya boleh ditonton di rangkaian YouTube Inteam Digital.