KPLB segerakan pelaksanaan projek pembangunan luar bandar

Mahdzir (kiri) ketika hadir pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KPLB di Putrajaya pada Jumaat.
Mahdzir (kiri) ketika hadir pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KPLB di Putrajaya pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) meletakkan sasaran menjadikan 2022 sebagai tahun untuk menyegerakan setiap projek pembangunan yang dijalankan di luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian itu memerlukan anjakan paradigma dalam proses kerjanya bagi mengelakkan tempoh masa terlalu lama diambil dalam pelaksanaan projek sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

"Sekarang ini masa untuk kita fikirkan dengan dunia teknologi digital, bagaimana kaedahnya untuk kita mempercepatkan proses pelaksanaan projek.

“Semua orang kata kita tak boleh buat. Jadi, bagaimana kita nak ubah paradigma ini untuk pastikan kita boleh buat.

“Ini menjadi satu cabaran baharu kepada kita untuk mempercepatkan proses dan InsyaALLAH kita boleh sampaikan kepada rakyat dengan lebih baik jika kita sama-sama dapat memikirkannya. Ini kerana kita sudah memasuki tahun baharu dan Rolling Plan kedua Rancangan Malaysia Ke-12," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KPLB yang diadakan di Putrajaya pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, semua warga KPLB perlu bergerak sebagai satu pasukan untuk merealisasikan anjakan paradigma bagi mengelakkan daripada terus berada di dalam kepompong yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Jadi bagaimana kita nak capainya, sudah tentulah kita memerlukan satu pasukan ‘task force’ yang benar-benar boleh laksanakannya,” ujarnya

Katanya, usaha tersebut perlu meliputi semua agensi di bawah kementerian itu termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan agensi wilayah.

Dalam pada itu, KPLB juga mempunyai mandat dalam bidang pendidikan melalui pelaksanaan pendidikan awal kanak-kanak dan pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

"Sudah sampai masanya semua kementerian berkaitan duduk bersama dalam satu ‘task force’ untuk memikirkan pelan Pendidikan Awal Kanak-kanak 2.0 supaya lebih sesuai dengan keperluan dan perkembangan dunia semasa.

“Antaranya termasuk menaik taraf guru Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) lulusan diploma kepada ijazah sarjana muda," ujarnya.

Beliau pada masa sama turut menyentuh mengenai peningkatan capaian internet di sekolah Tadika Kemas yang sekali gus akan membolehkan kawasan sekitarnya mendapat manfaat.

“Kita tidak perlu ambil 11,000 sekolah Kemas yang ada buat masa ini. Kalau kita ada 5,000 capaian pun sudah banyak tempat dan orang kampung di sekelilingnya boleh menggunakan kemudahan tersebut.

"Ada kaedah dan ada caranya, cumanya kita kena ada sedikit usaha yang di luar daripada peraturan sedia ada. Kalau kita fikir yang sedia ada itu sahaja kita tidak akan dapat dan masyarakat di luar bandar akan tertinggal begitu sahaja,” katanya.

Bagi bidang pendidikan TVET, Mahdzir berkata, institusi bidang pendidikan itu yang terletak di bawah KPLB perlu mengelakkan terlalu banyak pertindihan kursus selain kursus yang tidak bersesuaian dengan kehendak pasaran pekerjaan.

"Kita tidak mahu timbul masalah pelajar ambil kursus kemudian dapat sijil tetapi tidak mendapat pekerjaan. Kita tidak boleh ambil pendirian hanya mahu penuhkan institusi pengajian tetapi tidak dapat memenuhi kehendak industri," jelasnya.