Lindungi kesucian Islam daripada amalan khurafat

Sebarang upacara dan amalan perbomohan menggunakan objek tertentu atau tanpa menggunakan apa-apa objek sama ada untuk tujuan perubatan, perbomohan atau selainnya adalah berlawanan dengan hukum syarak dan haram.
Sebarang upacara dan amalan perbomohan menggunakan objek tertentu atau tanpa menggunakan apa-apa objek sama ada untuk tujuan perubatan, perbomohan atau selainnya adalah berlawanan dengan hukum syarak dan haram.
A
A
A

IPOH - Umat Islam mempunyai tanggungjawab melindungi agama daripada dijadikan bahan jenaka dan ketawa melalui upacara atau perbuatan berunsur syirik yang dilakukan di tempat awam untuk tontonan umum.

Teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertajuk ‘Amalan Khurafat Merosakkan Akidah’ itu menjelaskan bahawa perbuatan itu boleh mencemarkan kesucian agama serta menjatuhkan maruah umat Islam.

Jelasnya, adab sopan beramal yang ditetapkan oleh Islam wajib dilindungi dan dihormati pada setiap masa.

"Insaflah, bahawa segala bentuk khurafat sama ada amalan atau kepercayaan boleh menjerumuskan manusia menjadi syirik.

"Pada hakikatnya mereka yang mengamalkannya semakin bertambah sesat, dan syaitan pula semakin bertambah sombong atas kejayaan menyesatkan anak Adam. Jauhilah khurafat demi membina generasi yang bertakwa," katanya.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa Islam sangat menitik beratkan soal menjaga akidah namun sebahagian kepercayaan dan amalan yang mengandungi unsur-unsur syirik masih terus dilakukan oleh segelintir masyarakat disebabkan ceteknya pengetahuan serta lemahnya penghayatan agama.

"Kepercayaan terhadap unsur-unsur mistik yang merosakkan akidah dan mendorong kekufuran seperti percaya kepada tangkal, azimat, ilmu pengasih, ilmu hitam, membuang sial, melariskan perniagaan dan seumpamanya masih berlaku.

"Selain itu, antara bentuk khurafat moden yang dipercayai oleh segelintir anggota masyarakat ialah kepercayaan kepada bintang dan angka tertentu yang didakwa boleh membawa tuah atau sial," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, khutbah memberi panduan untuk melindungi umat Islam daripada terperangkap dengan amalan-amalan berunsur khurafat.

Khutbah Jumaat disampaikan khatib di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di Ipoh.
Khutbah Jumaat disampaikan khatib di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di Ipoh.

"Pertama, jauhi dan tinggalkan amalan-amalan yang tidak berdasarkan nas-nas syarak sama ada al-Quran atau hadis. Kedua, tidak mempercayai cerita-cerita rekaan, dongeng atau khayalan yang bersumberkan kepercayaan-kepercayaan karut dan tidak lagi meneruskan adat yang bercanggah dengan ajaran Islam.

"Ketiga, tidak disandarkan hajat atau permohonan kepada bantuan makhluk halus atau seruan mendapat pertolongan daripada roh-roh yang telah berada di alam barzakh dan keempat, tidak melakukan pemujaan kepada kubur, telaga, busut, pokok, senjata lama, selendang dan sebagainya dengan kepercayaan objek-objek tersebut dapat membantu untuk mencapai sesuatu hajat," jelasnya.

Berhubung kaedah perubatan tradisional, khutbah itu menjelaskan bahawa kaedah itu berperanan sebagai pelengkap kepada kaedah perubatan moden kerana ada unsur-unsur yang dapat memberikan kekuatan rohaniah, kekuatan dalaman dan kekuatan psikologi.

"Islam membenarkan perubatan secara rohaniah, tetapi hendaklah berlandaskan syarak tanpa ada unsur-unsur khurafat dan syirik seperti mencampur adukkan ayat-ayat al-Quran dalam mantera yang menyeru pertolongan makhluk halus, dengan memanggil roh datuk nenek, roh wali-wali, syeikh dan khadam tertentu.

"Dalam sejarah Islam, wujud cara perubatan tertentu sepertimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, selawat, zikir dan doa-doa khusus sebagai pelindung, pendinding serta penawar bagi mengubati penyakit.

"Ibnu Qayyim al-Jauziyah menerusi karyanya at-Tib an-Nabawi menjelaskan bahawa Rasulullah SAW menggunakan tiga asas ubatan untuk merawat penyakit iaitu, bahan semula jadi, amalan kerohanian dan gabungan daripada kedua-duanya," katanya.

Katanya, terdapat amalan yang dianjurkan untuk membantu manusia mendapat ketenangan ketika gelisah berhadapan ujian, sama ada berbentuk penyakit, kesusahan, kesulitan, musibah dan bala.

"Pertama, memperbanyakkan beristighfar memohon keampunan ALLAH SWT dan berdoa dengan yakin dan bersungguh. Kedua, memperbanyak zikir munajat berserta solat sunat hajat dan solat sunat istikharah.

"Ketiga, bertawassul dengan nama-nama ALLAH yang mulia, amalan kebaikan peribadi dan doa orang-orang soleh dan keempat, memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin dan anak-anak yatim kerana doa penerima sedekah itu amat hampir dengan ALLAH SWT," katanya.