Situasi banjir semakin pulih, mangsa di Johor dan Melaka menurun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bilangan mangsa banjir yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Melaka pada petang Khamis menurun kepada 649 orang berbanding 720 orang pada sebelah pagi.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir semakin berkurang kepada 636 orang setakat 4 petang Khamis berbanding 705 individu pada pagi.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, tiga daerah masih terjejas banjir melibatkan 17 PPS dengan Muar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 321 orang, diikuti Segamat (303) dan Tangkak (12).

“Bagaimanapun, stesen Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar yang merekodkan paras amaran kini menunjukkan trend penurunan. Selain itu, cuaca di seluruh negeri kini dilaporkan cerah termasuk di daerah terjejas banjir,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, beliau berkata, Jalan Felda Bukit Aping di Kota Tinggi masih ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian tanah runtuh.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, mangsa banjir di Melaka menurun kepada 13 orang daripada tiga keluarga pada pukul 4 petang Khamis dan kesemua mangsa ditempatkan di satu PPS di Jasin. - Bernama

Artikel Berkaitan: