Mangsa culik ditemui mati dibunuh

Seorang suspek dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki berusia 29 tahun di sebuah kebun sawit di Bidor, Tapah pada Rabu. - Foto ihsan PDRM
Seorang suspek dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki berusia 29 tahun di sebuah kebun sawit di Bidor, Tapah pada Rabu. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

TAPAH - Kehilangan seorang lelaki berusia 29 tahun sejak empat bulan lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui tertanam di sebuah kebun sawit di Bidor di sini pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mayat mangsa ditemukan selepas polis memberkas seorang suspek berusia 30 tahun di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Selangor pada Selasa.

Beliau berkata, penahanan itu dilakukan selepas polis menerima satu laporan berkaitan mangsa yang dilarikan pada 3 Oktober tahun lalu.

"Suspek kemudian mendedahkan bahawa mangsa telah dibunuh dan ditanam di kebun terbabit.

"Dengan dipandu arah oleh suspek, polis berjaya menemui mayat mangsa yang ditanam dan dibungkus dengan kanvas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan mendapati mangsa bersama rakannya telah diserang dua lelaki bersenjatakan kayu pada 13 September lalu di sebuah kolam ikan Kampung Poh, Bidor.

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash

"Dalam kejadian itu, mangsa dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan, manakala rakan mangsa diugut untuk tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sebelum ditinggalkan.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian itu dipercayai disebabkan masalah hutang antara mangsa dan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Dengan penemuan mayat itu, beliau berkata, kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

"Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

"Suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik. Perintah reman akan dipohon semula untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Tambah Mior Faridalathrash, usaha mengesan seorang lagi suspek yang dikenali sebagai M Anbu sedang giat dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Asisten Superintendan Noor Irwan Abd Ghani di talian 017-3168097 atau mana-mana balai polis berhampiran.