Kontraktor didakwa lagi, rasuah penjawat awam

Asdi mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memberi rasuah di Mahkamah Seksyen Ipoh pada Khamis.
Asdi mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memberi rasuah di Mahkamah Seksyen Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas tiga pertuduhan memberi suapan berjumlah RM14,000 kepada penjawat awam, tiga tahun lalu.

Asdi Ali, 42, yang pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Johor Bahru sebelum ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai berjumlah RM6,000 melalui mesin deposit tunai ke akaun milik penolong jurutera, Hairulnizam Sarudin, 44.

Perbuatan itu sebagai dorongan mendapatkan kebenaran dan kelulusan tambahan kerja bagi kerja-kerja pembaikan lapis kalis air di blok B dan C asrama perempuan di Darul Quran Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa memberi suapan sebanyak RM5,750 dan RM2,250 kepada individu sama sebagai dorongan mendapatkan kebenaran dan kelulusan tambahan kerja bagi kerja-kerja pembaikan kerosakan di kediaman kelas blok kakitangan dan pegawai di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor dan kerja-kerja penyelenggaraan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.

Ketiga-ketiga perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Ipoh Garden pada 6 dan 20 Disember 2019.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Pendakwa SPRM, Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun, Asdi yang diwakili peguam, Nazrin Sulaiman memohon jaminan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin sebelum ini diguna pakai untuk kes itu.

Hakim M Bakri bagaimanapun menolak permohonan tersebut dan membenarkan jaminan baharu sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk disebut semula pada 26 Januari ini.