X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Projek bina jambatan ke kubur diutamakan

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A

SEREMBAN - Projek pembinaan semula jambatan yang menghubungkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Rotan di Jelebu akan menjadi keutamaan untuk disiapkan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya memandang serius masalah yang dihadapi penduduk di kampung berkenaan susulan kerosakan jambatan tersebut sehingga satu jenazah terpaksa diusung menyeberangi sungai baru-baru ini.

"Terdapat dua jambatan di kampung itu yang menghubungkan kawasan perkuburan dan kebun.

"Pembinaan jambatan pertama bermula 2 Ogos dan siap pada 26 September dengan kos RM80,000, tetapi mengalami hakisan teruk disebabkan banjir pada 19 Disember lalu," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Menurut Aminuddin, jambatan kedua iaitu yang tular baru-baru ini telah roboh sejak Mei tahun lepas dan sebut harga untuk kerja pembinaan jambatan mula dibuka pada 2 Ogos dan ditutup pada 17 Ogos tahun sama.

"Pembinaan jambatan kedua bermula pada 1 November lalu dan dijangka siap pada 21 Januari ini, namun disebabkan banjir kerja-kerja pembinaan jambatan kedua terpaksa ditangguhkan.

"Saya sudah arahkan Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu supaya projek pembinaan jambatan ini menjadi keutamaan untuk disiapkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat dua tanah perkuburan Islam dalam jarak lingkungan 10 kilometer berhampiran Kampung Sungai Rotan.

"Penduduk boleh ke tanah perkuburan itu tanpa melalui jambatan yang roboh, tetapi mungkin jenazah mahu dikebumikan kawasan berkenaan," katanya.

Media pada Selasa melaporkan penduduk di Kampung Sungai Rotan di sini terpaksa mengusung jenazah dengan menyeberangi sungai selepas jambatan yang menghubungkan tanah perkuburan runtuh akibat banjir baru-baru ini.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menerusi status Facebook miliknya pada Isnin.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!