Pelan strategik perkukuh peranan UPM sebagai menara ilmu

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berkenan menyampaikan Pingat Emas Canselor kepda Aini Nazihah Hasan pada Konvokesyen UPM ke-44 pada Rabu. - Foto Bernama
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berkenan menyampaikan Pingat Emas Canselor kepda Aini Nazihah Hasan pada Konvokesyen UPM ke-44 pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Pelan Strategik Universiti Putra Malaysia (UPM) 2021-2025 dilancarkan pada Disember lepas mampu memperkukuh universiti berkenaan sebagai menara ilmu yang memacu kecemerlangan, titah Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

UPM, titah Baginda, memberi fokus kepada lima strategi utama di bawah pelan strategik iaitu memacu pertanian berteknologi tinggi; membangun karektor graduan UPM; menaja kampus pintar dan pendigitalan; memastikan kesempurnaan institusi yang mantap; dan melaksanakan pembudayaan norma baharu.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin yang juga Sultan Selangor pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-44 di sini pada Rabu menitahkan warga UPM termasuk para graduan yang bakal menjadi alumni untuk menyokong pelaksanaan pelan strategik itu.

"Beta difahamkan pengurusan universiti ini sentiasa melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan berterusan untuk mengangkat UPM sebagai sebuah menara ilmu melalui peningkatan kualiti pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional terhadap masyarakat," titah Baginda.

Sultan Sharafuddin dalam titahnya menyentuh peranan universiti bukan sahaja untuk menyediakan graduan bagi memenuhi pasaran kerja, tetapi juga melengkapkan graduan dengan kemahiran untuk menjadi individu yang aktif, bertanggungjawab, beradab, beramanah dan menjunjung tinggi tatacara kehidupan insaniah.

"Graduan seperti ini akan membawa rahmat dan kesejahteraan kepada insan lain dan alam persekitaran serta akhirnya menjamin masa depan yang lestari. Kejayaan diraih bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dari segi keperibadian diri graduan," titah Baginda.

Dalam titah Baginda, turut menasihatkan para graduan agar sentiasa menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang negara agar bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa dan negara, sekali gus menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berintegriti tinggi.

"Beta ingin menggesa para graduan, berjuang untuk meningkatkan martabat ibu bapa, keluarga dan negara ke peringkat yang lebih tinggi dengan ilmu yang dipelajari," titah Sultan Sharafuddin.

Artikel Berkaitan:

Pada istiadat konvokesyen itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan memasyhurkan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Prof Emeritus Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie dan Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim sebagai Pro Canselor UPM selama tempoh tiga tahun mulai 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024.

Baginda juga berkenan mengurniakan Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Aini Nazihah Hasin@Hassan (Bacelor Sains Fizik Dengan Kepujian) Fakulti Sains; Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) kepada Putera Mohamad Iskandar Jamil (Bacelor Sains Hortikultur) Fakulti Pertanian dan Anugerah Pelajaran Diraja (Bukan Bumiputera) kepada Chow Heng Yee (Bacelor Sains Pembangunan Manusia) Fakulti Ekologi Manusia.

Sultan Selangor turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan dan warga UPM atas kejayaan berada di tangga 143 dalam penarafan QS World University Ranking 2022, serta kejayaan mengekalkan kedudukan sebagai universiti terbaik di Malaysia dan ranking ke-27 terbaik dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2021.- Bernama