MBI Selangor peruntuk RM2.8 juta bantu mangsa banjir

MBI Selangor memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri itu. - Foto Bernama
MBI Selangor memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri itu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri ini dengan pecahan RM1.5 juta di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan RM1. 3 juta kepada Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit.

MBI Selangor dalam satu kenyataan berkata, bantuan tersebut telah disalurkan kepada sembilan kakitangan syarikat itu yang terkesan akibat banjir di bawah peruntukan CSR pada Rabu.

"MBI Selangor mengambil inisiatif pantas dengan menyalurkan sumbangan wang ringgit sebanyak RM3,000 bagi setiap warga kerja yang terkesan dan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Norita Mohd Sidek.

"Selain wang tunai, kakitangan terlibat turut menerima barangan keperluan asas dan makanan serta tilam, selimut serta bantal yang disumbangkan oleh Bukit Beruntung Golf Resort Sdn Bhd, " menurut kenyataan itu pada Rabu.

Tambah kenyataan itu lagi, seramai 20 sukarelawan terdiri warga kerja MBI Selangor turut serta melaksanakan kerja pembersihan rumah secara gotong-royong di rumah kakitangan terkesan banjir.

"Pasukan sukarelawan diketuai sendiri oleh CEO ke beberapa lokasi di sekitar Shah Alam dan Klang bagi menjalankan aktiviti mengemas, mencuci rumah, peralatan dan penyediaan makanan.

"MBI Selangor turut mengambil bahagian dalam satu lagi inisiatif kerajaan negeri iaitu Program Dapur Ehsan yang membekalkan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa kawasan," tambah kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, peruntukan CSR bantuan banjir berupa wang ihsan, makanan dan lain-lain diagihkan mengikut DUN atau pejabat tanah, daerah serta agensi kerajaan di Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan yang diberi ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban dan kesedihan kakitangan serta mangsa banjir yang terlibat untuk bangkit semula membina kehidupan," katanya.