Guru madrasah, pembantu didenda RM1,500 ceroboh hutan simpan

Ismail (dua dari kanan) ketika tiba di Mahkamah Seksyen Sungai Petani pada Rabu.
Ismail (dua dari kanan) ketika tiba di Mahkamah Seksyen Sungai Petani pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang tenaga pengajar sebuah madrasah bersama pembantu didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani menceroboh hutan simpan kekal tahun lalu.

Hakim Najwa Che Mat membuat keputusan itu terhadap guru sebuah sebuah madrasah dekat Kampung Tembak B, Kuala Ketil, Ismail Taib, 69, dan pemandu lori Kairulanuar Zulkifili, 34.

Kedua-dua tertuduh turut berdepan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Ismail dan Kairulanuar yang dituduh secara berasingan mengaku bersalah memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartmen 23, Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, Kedah tanpa permit yang sah pada jam 11.30 pagi, 23 Ogos lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 47 (1) (c) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang diterima pakai oleh Negeri Kedah bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan boleh dihukum bawah Subseksyen 47 (4) Enakmen yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Ismail (kanan) dan Kairulanuar (kiri) didenda RM1,500 kerana menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, Kedah pada Ogos tahun lalu.
Ismail (kanan) dan Kairulanuar (kiri) didenda RM1,500 kerana menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, Kedah pada Ogos tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Naquiah Jusoh dan Naliatul Huzaimi Ab Rasip.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua tertuduh sebelum itu merayu hukuman yang ringan dikenakan berikutan tidak berkemampuan selain masih menanggung keluarga.

Bagaimanapun pihak pendakwaan memohon satu hukuman setimpal kerana mereka melakukan kesalahan menceroboh hutan simpan kekal yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air selain mengelak berlaku bencana alam.

Berdasarkan fakta kes, Ismail dan Kairulanuar ditahan anggota Jabatan Perhutanan Negeri Kedah ketika rondaan dibuat di kawasan itu setelah terdengar bunyi mesin gergaji rantai.

Pemeriksaan lanjut mendapati kawasan lapang tersebut telah dibersihkan serta terdapat pembakaran kayu, tiga bilah parang, tiga tong minyak dan tiga buah motosikal.

Tertuduh juga gagal menunjukkan rekod permit memasuki hutan simpanan kekal yang membolehkan mereka berada di situ.

Mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh didenda RM1,500 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.